ARTIKEL

Kerajaan Persekutuan menegaskan komitmen berterusan dalam rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dengan memuktamadkan sembilan tuntutan setakat ini demi kesejahteraan rakyat Sabah, Sarawak dan Malaysia secara keseluruhan. | Faitullah Morni (TVS)

MA63: Sembilan daripada 13 tuntutan selesai, baki dalam rundingan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terus menampakkan hasil apabila sembilan tuntutan berjaya dimuktamadkan, manakala beberapa perkara utama lain turut mendapat persetujuan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) Bilangan 1 Tahun 2025 hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sembilan tuntutan yang telah diselesaikan merangkumi pelbagai aspek pentadbiran, perundangan dan kawal selia.

“Antara yang telah diselesaikan ialah Pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sabah dan Negeri Sarawak sebagai Jabatan Teknik di bawah Arahan Perbendaharaan 182 (AP182); Pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 1995 bagi melantik Wakil Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak sebagai Anggota Tetap Lembaga Hasil Dalam Negeri; Penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas di Negeri Sabah; Pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak; Penyediaan Garis Panduan Khas bagi urusan penyerahan semula tanah dirizabkan bagi maksud Persekutuan di Sabah dan Sarawak; Penyerahan Kuasa Kawal Selia Elektrik kepada Kerajaan Negeri Sabah; Cadangan Pindaan Perkara 95B Perlembagaan Persekutuan mengenai ubah suaian bagi Negeri Sabah dan Sarawak mengenai pembahagian kuasa perundangan; Tenaga Buruh di Sabah dan Sarawak – Pindaan Ordinan Buruh Sabah dan Sarawak dan Penukaran Status Pelabuhan Bintulu Daripada Pelabuhan Persekutuan Kepada Pelabuhan Negeri,” katanya.

Beliau menambah, mesyuarat kali ini turut memutuskan beberapa perkara baharu yang dipersetujui bersama antaranya ialah Pengiktirafan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak dan Jabatan Bekalan Air Sabah sebagai Jabatan Teknik bagi projek bernilai bawah RM50 juta dan Cadangan pindaan Perlembagaan bagi membolehkan Yang di-Pertua Negeri Sabah dan Sarawak memperakukan pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman.

Menurut Fadillah, isu pertambahan kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak juga akan dipertimbangkan, namun memerlukan penelitian lanjut dari aspek perundangan.

Manakala cadangan berkaitan Akta Kualiti Alam Sekitar (AKAS) 1974 turut diberi perhatian bagi dibentangkan di Parlimen pada Disember depan.

Fadillah menegaskan, tuntutan lain yang masih belum selesai akan terus dibincangkan serta dipantau melalui platform rundingan MTPMA63, termasuk Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Kerja di peringkat kementerian dan agensi berkaitan.

“Segala perkara yang telah dipersetujui dalam mesyuarat ini akan dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri bagi penelitian dan keputusan lanjut,” ujarnya.

Sehingga kini, jelasnya, mesyuarat MTPMA63 yang diwajibkan berlangsung sekurang-kurangnya sekali setahun, terus menjadi medan penting dalam memastikan setiap perkara berhubung MA63 diangkat dan ditangani secara menyeluruh. – TVS

BERITA LAIN

BERITA TERBARU