KUCHING: Kelab handalan dari Sarawak yang semakin meningkat naik kredibiliti mereka, Machan FC (Al-Ikhsan Cup 2024) antara pasukan baharu yang mengemukakan permohonan untuk bermain di MBSB Bank Championship musim ini termasuk pasukan Kelantan FC (Liga Super 2024).
Menerusi laporan yang disiarkan laman rasmi AFL, Mesyuarat Kali Pertama Tahun 2024 Ahli Lembaga Pengarah, Amateur Football League (AFL) dipengerusikan oleh Pengerusi AFL, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi di Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini.
Mesyuarat itu turut dihadiri oleh empat Ahli Lembaga Pengarah iaitu Datuk Kamarudin Hassan, Farhan Ibrahim, Syed Yazid Syed Omar dan Datuk Adly Shah Ahmad Tah secara dalam talian.
Sembilan pasukan iaitu Armed Forces FC, Harini Selangor FT, Imigresen FC, Malaysian University, Melaka FC, YPM FC, Manjung City FC, PIB Shah Alam FC dan Bukit Tambun FC disahkan secara rasmi untuk bertanding di MBSB Bank Chamiponship Musim 2024/ 2025.
Manakala dua pasukan iaitu KL Rovers dan UiTM United diberi tempoh lanjutan sehingga 14 hari untuk melengkapkan pengesahan penyertaan mereka.
Dua pasukan disahkan menarik diri iaitu SAINS FC dan Sarawak United FC.
Sebagai langkah mengekalkan jumlah penyertaan yang sama seperti musim lalu (14 pasukan), Ahli Lembaga Pengarah AFL turut menerima beberapa permohonan pasukan baharu untuk bermain di MBSB Bank Championship musim ini termasuk Pasukan Kelantan FC (Liga Super 2024) dan Machan FC (Al-Ikhsan Cup 2024).
Kesemua pasukan ini juga diberi tempoh yang sama untuk melengkapkan pengesahan penyertaan mereka.






