ARTIKEL

MAG Bantu Stabilkan Operasi AirBorneo

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Malaysia Aviation Group (MAG) menerusi cabang penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), MAB Engineering Service terus menyokong operasi AirBorneo ketika syarikat penerbangan milik Sarawak itu berusaha menstabilkan semula perkhidmatannya susulan gangguan operasi yang berlaku kebelakangan ini.

Menurut laporan Bernama, MAG berkata MAB Engineering Services kekal menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan barisan, penyelenggaraan pangkalan dan komponen selain sokongan pergudangan serta logistik kepada AirBorneo di bawah kerjasama sedia ada.

“Susulan beberapa gangguan operasi yang menjejaskan jadual penerbangan baru-baru ini, MAG terus berhubung rapat dengan AirBorneo bagi membantu proses pemulihan operasi dan meningkatkan tahap ketersediaan pesawat,” katanya.

MAG memaklumkan pengaturan penyelenggaraan dan bekalan alat ganti sentiasa dinilai semula bagi memperkukuh kecekapan operasi dengan kerjasama semua pihak berkaitan.

Langkah ini dilihat penting bagi meningkatkan kebolehpercayaan operasi serta mengurangkan gangguan kepada penumpang, khususnya mereka yang bergantung kepada rangkaian penerbangan di Malaysia Timur.

Ketika ini, AirBorneo menerima sokongan penyelenggaraan daripada Firefly Maintenance and Repair Organisation dan MAB Engineering.

Syarikat penerbangan yang menjadi pengendali tunggal Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) itu sebelum ini menjadi perhatian susulan kelewatan dan pembatalan beberapa penerbangan yang menjejaskan laluan di Malaysia Timur sehingga mendorong syarikat berkenaan mengemukakan permohonan maaf kepada orang ramai.

Situasi tersebut turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna, khususnya penduduk luar bandar dan pedalaman yang bergantung kepada perkhidmatan udara bagi tujuan pergerakan serta akses kepada perkhidmatan asas.

Sebagai langkah penambahbaikan, AirBorneo kini menilai semula pengaturan sokongan penyelenggaraan, strategi penyediaan alat ganti dan tahap perkhidmatan bersama rakan kerjasama bagi memperkukuh daya tahan operasinya.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU