KUCHING: Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB) memperuntukkan RM95 juta di bawah perbelanjaan modal (CAPEX) tahunan untuk menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK).
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, inisiatif utama termasuk pemasangan Sistem Pengendalian Bagasi Dalam Talian (ILBHS) baharu, pengubahsuaian Jambatan Penumpang Naik (PBB), pelaksanaan Sistem Panduan Docking Visual (VDGS) dan ‘rehab apron’.
“Ia termasuk penambahbaikan pada jalan masuk kecemasan dan papan tanda terminal untuk meningkatkan pematuhan dan piawaian keselamatan.
“Penambahbaikan operasi seperti pengubahsuaian penghawa dingin, pengecatan semula dan pengenalan kemudahan moden seperti pintu penghalang automatik serta lampu terminal LED juga dirancang untuk meningkatkan kecekapan penumpang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Tambahnya, kementeriannya sedang dalam proses menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi cadangan LTAK baharu, iaitu salah satu inisiatif utama untuk mengukuhkan sektor penerbangan Sarawak dengan kemudahan bertaraf dunia.
Jelas Kim Shin, kemudahan bertaraf dunia di LTAK nanti dapat menampung 15 juta penumpang setiap tahun.
“Cadangan LTAK baharu itu bertujuan untuk menangani kekangan kapasiti semasa dan menjadikan Kuching sebagai hab penerbangan utama serantau,” katanya lagi.




