KUCHING: Mahkamah Tinggi membenarkan sebahagian permohonan Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib untuk memeriksa rekod perakaunan Cahya Mata Sarawak Berhad bagi tempoh kewangan 2021 hingga 2025.
Peguam Abu Bekir, Satinder Singh Sandhu, berkata perintah itu membolehkan anak guamnya memeriksa rekod kewangan Cahya Mata Sarawak, namun permohonan sama ke atas lima anak syarikatnya ditolak.
“Mahkamah memerintahkan Cahya Mata Sarawak menyediakan akaun pengurusan, lejar am, lejar penghutang dan pemiutang, lejar aset tetap serta senarai inventori bagi tempoh berkenaan dalam tempoh 14 hari selepas perintah bermeterai diserahkan kepada syarikat itu.
“Bagaimanapun, perintah itu hanya boleh dimeterai selepas juruaudit yang dilantik Abu Bekir mengemukakan aku janji bertulis kepada mahkamah seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 245(8) Akta Syarikat 2016,” katanya.
Menjelas lanjut katanya, juruaudit berkenaan juga perlu mengemukakan salinan lesen dan memastikan maklumat yang diperoleh daripada pemeriksaan hanya didedahkan kepada Abu Bekir.
“Mahkamah turut membenarkan juruaudit mengambil satu salinan bagi setiap rekod perakaunan yang diperiksa atau menggunakan kemudahan fotokopi yang disediakan CMS pada kadar RM1 bagi setiap salinan.
“Bagaimanapun, permohonan untuk memeriksa rekod perakaunan Defendan Kedua hingga Keenam, yang merupakan anak syarikat CMS, bagaimanapun ditolak tanpa menjejaskan hak Mahmud untuk memohon perintah lanjut sekiranya pemeriksaan rekod mereka diperlukan bagi mendapatkan gambaran sebenar dan adil mengenai kedudukan CMS,” katanya.
Sementara itu, peguam yang mewakili pihak defendan, Alvin Chong, Jonathan Tay dan Ezekiel Chong, berkata Abu Bekir hanya berjaya mendapatkan perintah pemeriksaan rekod perakaunan dan rekod lain Cahya Mata Sarawak sebagai Defendan Pertama.
“Abu Bekir tidak berjaya mendapatkan perintah pemeriksaan terhadap rekod perakaunan dan rekod lain Defendan Kedua hingga Keenam, yang merupakan anak syarikat Defendan Pertama, Cahya Mata Sarawak,” katanya mereka ketika dihubungi.
Mereka berkata Cahya Mata Sarawak hanya perlu mematuhi perintah mengemukakan rekod dan membenarkan pemeriksaan selepas menerima perintah bermeterai, dengan tempoh pematuhan selama 14 hari.
“Kami sedang mendapatkan arahan daripada anak guam berhubung langkah seterusnya,” menurut mereka.
Mahkamah turut memberikan kebebasan kepada pihak terlibat untuk memohon arahan lanjut dan tidak membuat sebarang perintah berhubung kos.

