PEKAN: Seorang juruteknik syarikat pembekal barangan dan mesin perladangan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian tiga individu pada Jun lepas.
Syed Muhammad Izzat, 31, didakwa memandu kenderaan pacuan empat roda Isuzu D-Max secara melulu di Kilometer 67 Jalan Kuantan-Segamat pada 5.30 petang, 19 Jun lalu sehingga menyebabkan kematian Mohamad Zekry Zuhairy Mohd Atan, 33, Dhea Sofia Mohamad Zekry Zuhairy, 2, dan Azaharuddin Mohd Ali, 46.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan. Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut menggantung lesen memandu tertuduh sehingga kes selesai serta mengarahkannya melapor diri di Balai Polis Muadzam Shah setiap Rabu pada jam 9 pagi. Sebutan semula kes ditetapkan pada 18 September seperti dilapor Bernama.



