ARTIKEL

Mahkamah Tinggi tolak permohonan PETRONAS tukar prosiding interpleader

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pejabat Premier Sarawak hari ini mengesahkan bahawa Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menolak permohonan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) untuk menukar prosiding interpleader yang sedang berlangsung dalam Saman Pemula No. WA-24NCvC-4367-11/2024 kepada tindakan writ.

Menurut kenyataan Pejabat Premier Sarawak, mahkamah memutuskan bahawa saman pemula di bawah Aturan 17 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 (ROC) merupakan satu proses yang lengkap dan tersendiri, direka khusus bagi menyelesaikan tuntutan bertindih terhadap pihak neutral.

“Menukar prosiding sedemikian menjadi writ akan mengubah asasnya, menjadikannya tindakan adversarial dan menjejaskan tujuan utama prosiding interpleader di bawah Aturan 17,” menurut kenyataan itu.

Prosiding interpleader berkenaan dimulakan oleh Plaintif Interpleader, Shell MDS (Malaysia) Sdn. Bhd., bagi menentukan kepada siapa pembayaran harus dibuat, berikutan tuntutan bertindih daripada PETRONAS selaku Defendan Pertama dan Petroleum Sarawak Sdn. Bhd. (PETROS) selaku Defendan Kedua — berhubung bayaran bagi bekalan gas kepada Shell MDS.

PETRONAS memohon untuk menukar saman pemula kepada tindakan writ atas alasan perkara itu melibatkan isu kompleks dan pertikaian fakta yang memerlukan perbicaraan melalui keterangan lisan.

Pendengaran permohonan berkenaan telah diadakan pada 15 Ogos lalu, dengan PETROS dan Kerajaan Sarawak membantah permohonan tersebut.

“Adalah dihujahkan bahawa Aturan 17 sudah menyediakan rangka kerja prosedur yang lengkap untuk menentukan persoalan undang-undang dan fakta tanpa perlu menukar bentuk prosiding, dan bahawa permohonan PETRONAS hanya akan merumitkan serta melambatkan proses,” jelas kenyataan itu.

Dalam keputusannya, Mahkamah Tinggi mendapati bahawa Aturan 17 ROC merupakan proses yang lengkap untuk menangani keadaan di mana pihak neutral menghadapi tuntutan bertindih terhadap harta atau pembayaran yang sama.

Mahkamah turut bersetuju dengan hujah Kerajaan Sarawak bahawa menukar saman pemula kepada tindakan writ akan mengubah prosiding menjadi tuntutan adversarial sepenuhnya, sekali gus menjejaskan objektif utama interpleader.

“Mahkamah juga menolak cubaan PETRONAS untuk meluaskan pertikaian di luar skop kelayakan, termasuk ke dalam isu-isu perlembagaan, kerana perkara itu tidak dibenarkan di bawah Aturan 17,” menurut kenyataan itu lagi.

Kenyataan tersebut menambah bahawa skop prosiding interpleader adalah terhad semata-mata bagi menentukan kepada siapa pihak berkepentingan — dalam kes ini, Shell MDS — perlu membuat pembayaran, dan bukannya untuk membuka semula isu dasar atau persoalan perlembagaan yang lebih luas.

Mahkamah turut menegaskan bahawa kes berkenaan tidak bergantung kepada keterangan saksi, sebaliknya boleh diselesaikan melalui bukti dokumentari memandangkan ia membabitkan persoalan undang-undang, bukan kontroversi fakta.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 10 November 2025 untuk pengurusan kes seterusnya melalui e-semakan.

BERITA LAIN

Wajib bayar HUTANG, jangan tangguh

Hutang merupakan perkara yang lazim dalam kehidupan manusia. Ada yang berhutang untuk memenuhi keperluan keluarga, membeli rumah, mendapatkan kenderaan atau menjalankan perniagaan. Islam tidak melarang

BERITA TERBARU