
KUCHING: Ahli Parti Sarawak Bersatu (PSB) Cawangan Santubong, Mahmud Sabli mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli PSB berkuat kuasa hari ini.
Dalam satu kenyataan, beliau memaklumkan keputusan itu dicapai atas faktor kekangan masa dan tumpuan ke atas keluarga dan perniagaan serta bantuan kepada masyarakat secara keseluruhan.
“Setelah berbincang dengan beberapa rakan dan penyokong serta ahli keluarga terdekat, maka keputusan untuk meletak jawatan sebagai ahli PSB telah diambil tindakan dengan serta merta.
“Ini adalah untuk memberi saya masa dan tumpuan kepada keluarga, perniagaan serta membantu masyarakat keseluruhan setelah tiga tahun tumpuan diberi kepada perjuangan PSB,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau dalam masa yang sama mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Presiden Parti PSB, Datuk Seri Wong Soon Koh kerana banyak memberi tunjuk ajar serta pengalaman yang berharga semasa beliau berada bersama PSB.
Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada Soon Koh kerana diberi peluang untuk menjadi calon untuk DUN Pantai Damai semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.
“Semoga selepas ini, saya akan lebih memberi perhatian dan meluangkan masa kepada keluarga dan perniagaan.
“Selain itu, berharap saya juga dapat membantu masyarakat menerusi Badan Bukan Kerajaan (NGO) demi memenuhi perjuangan Malaysia Madani,” ujarnya.


