PENGARAH filem terkenal Sarawak, Jalot Jeman atau nama sebenarnya Ghazali Jeman, menyuarakan harapan besar terhadap industri seni dan perfi leman Sarawak pada tahun baharu ini.
Menurut Jalot, Sarawak kaya dengan lokasi menarik serta pelbagai keunikan budaya yang seharusnya diperkenalkan kepada dunia melalui layar perak.
“Harapan saya agar pada tahun baharu ini lebih banyak penerbit filem memilih Sarawak sebagai lokasi penggambaran kerana negeri ini memiliki pelbagai lokasi menarik yang wajar diperkenalkan di mata dunia,” katanya kepada Suara Sarawak.
Bagi Jalot, filem bukan sekadar medium hiburan, malah berperanan penting dalam mengekalkan identiti budaya negeri.
“Sarawak terkenal dengan kepelbagaian etnik dan suku kaum yang masing-masing mempunyai adat serta kepercayaan tersendiri dan berbeza daripada di Semenanjung.
“Filem Sarawak mampu menonjolkan keunikan ini bukan sahaja di dalam negara, malah di peringkat antarabangsa.
Setiap cerita yang ditampilkan melalui fi lem menjadi cerminan identiti serta warisan budaya Sarawak yang wajar dihargai dan dipertontonkan kepada dunia,” ujarnya.
Menyentuh perjalanan kerjaya, Jalot mendedahkan cabaran paling bermakna dalam kerjayanya ialah melangkah ke tahap sebagai pengarah fi lem layar lebar.
Cabaran tersebut lebih besar kerana beliau berpangkalan di Sarawak, berbanding Kuala Lumpur yang mempunyai ramai penggiat industri veteran untuk dijadikan rujukan.
Selain itu, Jalot turut menekankan kepentingan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Koordinasi Pengarahan Filem dalam membangunkan bakat industri perfi leman Sarawak.
Menurutnya, bakat semata-mata tidak mencukupi, sebaliknya perlu disertai ilmu yang diperoleh melalui pendidikan formal, bimbingan berasaskan pengalaman atau kajian kendiri.
“Bakat ialah kurniaan Ilahi, namun ia hanya akan membawa seseorang ke tahap tertentu. Ilmu yang digabungkan dengan bakat mampu membawa kita ke tahap yang lebih tinggi daripada kemampuan semula jadi,” jelasnya.
Bagi Jalot Jeman, tahun baharu merupakan peluang untuk memperkukuh industri perfi leman Sarawak, memperkenalkan budaya unik negeri ini serta memberi inspirasi kepada generasi pengarah muda agar terus berani berkarya dan menembusi peringkat antarabangsa.
Dengan visi yang jelas dan dedikasi tinggi, beliau optimis Sarawak mampu muncul sebagai salah satu pusat pengeluaran.



