KUCHING: Pindaan Ordinan Buruh Sarawak yang mula berkuat kuasa 1 Mei lalu terus membuahkan hasil apabila 1,150 kes tuntutan buruh berjaya diselesaikan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak dalam tempoh kurang dua bulan.
Pengarah JTK Sarawak Awang Raduan Awang Omar berkata, dari Januari hingga Oktober tahun ini, jabatan telah menjalankan 7,142 pemeriksaan berkanun dan 604 operasi pemeriksaan, yang menghasilkan 938 notifikasi pelanggaran merentasi pelbagai industri.
Menurutnya, antara pelanggaran yang dikesan termasuk beberapa kes tunggakan gaji yang kini dalam proses tindakan lanjut mengikut undang-undang yang ditetapkan.
“Peningkatan statistik menunjukkan keberhasilan pindaan Ordinan Buruh, di samping meningkatkan pemantauan terhadap isu ketidakpatuhan termasuk tunggakan gaji.
“Majikan kini lebih berhati-hati kerana sedar akan perubahan undang-undang dan tindakan JTK Sarawak turun ke lapangan untuk memastikan pematuhan,” katanya ketika ditemui TVS.
Mengulas lanjut, katanya, peningkatan aduan buruh turut dipengaruhi oleh perluasan liputan Ordinan Buruh Sarawak, yang kini merangkumi semua individu yang berkontrak perkhidmatan, tidak lagi terhad kepada bergaji RM2,500 ke bawah.
“Pekerja yang sebelum ini tidak dilindungi kini datang kepada JTK kerana kesedaran meningkat dan mereka lebih berani tampil membuat aduan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa JTK Sarawak telah menganjurkan 904 sesi pendidikan buruh setakat Oktober 2025 bagi memastikan pindaan difahami dengan jelas.
“Sesi-sesi tersebut merangkumi ceramah fizikal, siaran langsung Facebook, siaran radio, serta penyampaian dalam pelbagai bahasa tempatan seperti Bahasa Iban, Kayan, Mandarin dan lain-lain.
“Program jangkauan komuniti turut dijalankan di rumah panjang dan kawasan pedalaman bagi memberi penerangan kepada pekerja ladang, pembalakan dan sektor luar bandar,” ujarnya.
Tegasnya, JTK Sarawak sentiasa memberi notifikasi dan tempoh pembetulan sebelum sebarang tindakan seperti kompaun atau pendakwaan diambil.
“Jika kita mengesan sebarang pelanggaran, kita memberi notifikasi dan tempoh pembetulan terlebih dahulu sebelum tindakan seperti kompaun atau pendakwaan diambil,” tambahnya.
Setakat ini, beliau menjelaskan bahawa jabatan tidak menerima rungutan besar daripada pihak majikan, sebaliknya lebih banyak meminta penjelasan lanjut berkaitan kaedah pematuhan.
Dalam perkembangan sama, ujarnya, beberapa penambahbaikan kini diteliti untuk pelaksanaan masa hadapan, termasuk penyelarasan gelaran jawatan dan kajian semula peruntukan cuti yang telah lama tidak diperbaharui berdasarkan keadaan semasa.
Dalam hal berkaitan, Awang Raduan menyifatkan pindaan Ordinan Buruh Sarawak yang menekankan kemodenan dasar, peningkatan pendapatan dan kualiti hidup rakyat itu selaras dengan aspirasi Kerajaan Sarawak melalui Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak (PCDS) 2030.
Beliau turut menegaskan bahawa JTK Sarawak sentiasa melakukan penilaian pasca pelaksanaan bagi menambah baik strategi tahunan untuk memastikan setiap kawasan, termasuk pedalaman, menerima liputan dan penguatkuasaan yang adil.



