SARIKEI: Sebagai langkah berterusan meningkatkan kebersihan persekitaran dan kesejahteraan komuniti, Majlis Daerah Sarikei (MDS) memindahkan tong sampah jenis Roll-On Roll-Off (RORO) dari Jalan Hua Ee ke lokasi yang lebih strategik di Simpang Jalan Pasi/ Meradong.
Pengerusi MDS, Wong Kie Yong berkata, pemindahan tersebut dilakukan selepas menerima maklum balas daripada penduduk setempat serta hasil tinjauan dan penilaian oleh pasukan teknikal majlis.
“Penempatan semula ini bertujuan memastikan pengurusan sisa pepejal dapat dijalankan dengan lebih efisien tanpa menjejaskan keselesaan dan keselamatan awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, langkah tersebut dijangka dapat mengurangkan pembuangan sampah secara haram, terutamanya di kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi tumpuan pembuangan sisa pukal dan mudah diakses oleh kontraktor pembersihan.
Sebagai tambahan, MDS turut menempatkan tong RORO di beberapa lokasi lain. Antaranya, kawasan lapang Jalan Hua Tai, Jalan Merudu Simpang Sare, Taman Selera Baji Jaya, Jalan Pisang Emas (Kampung Seberang), Kawasan lapang Kedai Taman Susur Jambu, BDC Jalan Industri, Simpang Jalan Bulat Lama, Rumah Sembelih Jalan Kwong Ming, Simpang Sungai Sebanyak dan Jalan Repok (Batu 13½).
MDS turut mengingatkan bahawa tong RORO ini hanya dikhaskan untuk sisa pukal dan sisa kebun seperti perabot lama.
Sisa domestik harian serta bahan terlarang seperti bateri, cat, bahan kimia, sisa elektronik (e-waste) dan bangkai haiwan tidak dibenarkan dibuang ke dalam tong ini.
“Saya menyeru semua penduduk untuk mematuhi garis panduan yang ditetapkan dan menggunakan kemudahan ini secara bertanggungjawab demi menjaga kebersihan dan kesihatan komuniti,” ujar Wong.
Sebarang pertanyaan atau laporan berkaitan pembuangan sampah secara haram boleh disalurkan kepada Bahagian Kesihatan Awam dan Perkhidmatan Bandar di talian 084-651201/651202 atau melalui laman web rasmi MDS di https://sarikeidc.sarawak.gov.my. Orang awam juga boleh membuat laporan menerusi aplikasi Talikhidmat.



