Majlis Graduasi Pelajar Tingkatan Enam bertujuan meraikan pelajar yang tamat belajar di Tingkatan Enam bagi sesi 2023 dan memberi apresiasi kepada pelajar cemerlang melalui anugerah khas.
Majlis ini diadakan di hotel terkemuka di Miri pada 7 September lepas.
Perasmian Majlis Graduasi Pelajar Tingkatan Enam Sesi 2023 disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Sibuti, Datuk Lukanisman bin Awang Sauni.
Seramai 67 pelajar menerima sijil tamat belajar tingkatan enam.
Penerima Pelajar Terbaik bagi Elektif Pengajian Perniagaan dan Pelajar Terbaik Akademik Prauniversiti ialah Johansson Laga anak Jerry yang juga mendapat tawaran ke Universiti Pendidikan Sultan Idris dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sejarah dengan Kepujian.
Penerima Pelajar Terbaik bagi Elektif Geografi iaitu Michelle Begi anak John Asin mendapat tawaran menyambung pengajian ke Universiti Malaysia Sabah dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dengan Kepujian (Geografi).

Anthony Keti Chow pula penerima Pelajar Terbaik Akademik Prauniversiti dan juga Tokoh Pelajar Anugerah Khas Pengetua berjaya mendapat tawaran dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) di Universiti Teknologi Mara.
Melalui semakan UPUOnline pada 6 September 2024, seramai 32 pelajar lepasan STPM 2023 mendapat tawaran ke universiti awam bagi sesi akademik 2024/2025.
Dalam pada itu, majlis graduasi ini turut memberi penghargaan kepada 10 tenaga guru tingkatan enam dan penghargaan peningkatan akademik setiap mata pelajaran.
PENCAPAIAN STPM 2023
Pusat Tingkatan Enam SMK Suai, Bekenu antara sekolah luar bandar yang berjaya menonjolkan prestasi kecemerlangan akademik pelajar menerusi peperiksaan STPM 2023 baru-baru ini.
Dalam keputusan itu, SMK Suai menunjukkan peningkatan dari segi Gred Purata Sekolah (GPS) dan muncul sekolah luar bandar terbaik di Pejabat Pendidikan Daerah Subis dengan seorang pelajarnya, Johansson Laga anak Jerry mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 dan 25 lagi memperoleh PNGK 3.00 ke atas.



