KOTA SAMARAHAN: Hubungan erat antara Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dengan komuniti sekitar dipererat menerusi sumbangan kepada 10 masjid dan surau sempena Majlis Iftar Perdana UNIMAS 2026 di Pusat Islam Tun Abang Salahuddin (PITAS), di sini.
Sumbangan berjumlah RM2,000 bagi setiap masjid dan surau itu disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi kepada wakil yang terpilih.
Antara yang menerima sumbangan ialah Masjid Darul Ehsan Kampung Beliong Asajaya, Masjid Darul Abidin Kampung Tanjung Bako Kuching, Surau Nahdatul Darul Salam Kampung Sungai Ba Simunjan dan Surau Darul Iman Kampung Terasi Ulu Sadong Jaya.

FOTO: MOHD ALIF NONI

Turut menerima sumbangan ialah Surau Darul Iman Kampung Hulu Tungkah Melayu Simunjan, Surau Al-Hidayah Kampung Plaie Kota Samarahan, Surau Darur Rahman RPR Batu Kawa Fasa 4, Surau Nur Iman RPR Taman Sri Permai Landeh, Surau Darul Falah Kampung Semariang Fasa 3 serta Surau Darul Taqwa Kampung Bintawa Ulu.
Sementara itu, Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dr Ahmad Hata Rasit berkata, penganjuran majlis berbuka puasa ini antara usaha universiti untuk memperkukuh hubungan dengan masyarakat sekitar kampus selain menyemarakkan semangat kebersamaan dalam Ramadan.
“UNIMAS kini menjangkau usia 33 tahun sentiasa komited memperkasakan peranan sebagai universiti yang didorong komuniti untuk dunia lestari, bukan sahaja dalam aspek pengajaran dan pembelajaran malah melalui pelbagai inisiatif kemasyarakatan,” katanya ketika berucap pada Majlis Iftar Perdana UNIMAS 2026 di Pusat Islam Tun Abang Salahuddin (PITAS) di sini, malam tadi.
Tambah beliau, Pusat Islam Tun Abang Salahuddin (PITAS) menganjurkan pelbagai program ‘ihya Ramadan’ seperti iftar harian, ceramah agama, tadarus al-Quran, solat tarawih, moreh serta qiamullail,” ujarnya.



