BETONG: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah didoakan agar sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik, dipanjangkan usia serta terus memerintah negara dengan penuh kedaulatan, kebijaksanaan dan keberkatan.
Doa tersebut dizahirkan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, bersama seluruh rakyat Sarawak pada Majlis Kesyukuran sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Ke-17 Peringkat Sarawak 2026 yang berlangsung di Masjid Jamek Betong, malam tadi.

Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah tiba kira-kira jam 6.35 petang dan disambut oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta isteri, Datin Amar Baduyah Bujang.
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam bersama isteri, Datin Hafsah Salleh; Konsul Jeneral Negara Brunei Darussalam, Sheikh Abdul Mahdani Datuk Paduka Sheikh Abdul Gani; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Datuk Razaili Gapor; ADUN Kalaka, Mohamad Duri; ADUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor; serta Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Ustaz Mual Suaud.

Sejurus ketibaan, Tun Wan Junaidi berkenan menandatangani buku pelawat sebelum majlis dimulakan dengan solat fardu Maghrib berjemaah, diikuti bacaan Surah Yasin dan doa kesyukuran yang dipimpin Timbalan Imam Besar Sarawak, Ustaz Mohamad Ihsan Haidzir.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan alunan zikir marhaban oleh Gabungan Kumpulan Zikir Bahagian Betong sebelum para jemaah menunaikan solat fardu Isyak secara berjemaah.
Selesai solat Isyak, Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah berkenan bersalam-salaman serta beramah mesra dengan para jemaah sebagai tanda mengeratkan silaturahim serta menyemai semangat kebersamaan antara pemimpin dan rakyat.
Kemuncak majlis ialah jamuan makan malam yang turut dihadiri Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan isteri, Datin Amar Doreen Mayang, serta Menteri di Jabatan Premier Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab Sambutan, Datuk Sri John Sikie Tayai bersama isteri, Datin Seri Melia Gelen.
Antara kenamaan lain yang hadir ialah Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Gerald Rentap Jabu; Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan; Ahli Parlimen Betong, Datuk Dr Richard Rapu; serta ADUN Krian, Friday Belik.
Majlis kesyukuran tersebut mencerminkan rasa taat setia dan kasih rakyat Sarawak terhadap institusi Yang di-Pertuan Agong, di samping memperkukuh perpaduan serta semangat kenegaraan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini.


