KUCHING: Kumpulan tarian Majority muncul juara pertandingan bakat Show Time 2026 selepas menewaskan 11 finalis lain yang terdiri daripada penyanyi solo dan dua kumpulan tarian pada pertandingan akhir yang berlangsung di The Stage Studio.
Kemenangan itu membolehkan Majority membawa pulang trofi dan wang tunai RM3,000.
Kumpulan tersebut dianggotai oleh Kaylee Sarah Foh Suet Khee, Chong Nian Kang, Kelson Bong Qian Geng, Chai Cheng En dan James Wong Chiew Kam.
Menurut Kaylee, kemenangan itu amat bermakna buat mereka memandangkan seluruh pasukan telah bekerja keras bagi memastikan persembahan yang dipentaskan berada pada tahap terbaik.
Katanya, kejayaan tersebut turut didorong hasil usaha koreografer merangkap ketua kumpulan, James Wong Chiew Kam, yang bertanggungjawab menghasilkan keseluruhan koreografi serta memastikan setiap ahli diberi peluang menyerlah di atas pentas.
“Bagi persembahan kali ini, kami memilih gabungan lagu daripada Michael Jackson, Britney Spears dan Lady Gaga kerana ingin membawa penonton mengimbau evolusi tarian pop sekitar era 1980-an dan 1990-an.
“Melihat reaksi penonton serta maklum balas daripada barisan juri, kami berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan dan berbangga dengan pencapaian ini,” katanya ketika ditemu bual selepas pertandingan.
Mengulas perancangan selepas ini, Kaylee berkata mereka berhasrat menyertai lebih banyak pertandingan tarian berprestij bagi mengembangkan lagi bakat kumpulan.
Beliau berkata kesemua ahli Majority sebenarnya merupakan sebahagian daripada kru tarian Kinat Sprouts di bawah Kinat Fam dan menggunakan nama Majority khusus bagi menyertai pertandingan tersebut.
Tambahnya, meskipun barisan ahli kumpulan sering berubah mengikut masa, nama Majority terus dikekalkan dan kini menjadi legasi yang diteruskan oleh penari baharu, dengan sebahagian ahlinya telah bersama kumpulan itu selama lima tahun.
Dalam pada itu, tempat kedua dimenangi Julie Ann yang membawa pulang trofi dan wang tunai RM2,000. Beliau turut dinobatkan sebagai pemenang kategori Pilihan Penonton yang membawa pulang hadiah wang tunai RM200.
Tempat ketiga dimenangi Jackvin yang membawa pulang trofi dan wang tunai RM1,000, manakala tempat keempat dimenangi Michelle yang menerima wang tunai RM500. Bong Kah Ming pula menduduki tempat kelima dan membawa pulang wang tunai RM300.



