Makan durian percuma…

PUSA: Angkara Raja Buah, tapak utama program Rindok Digital @ Pusa gamat hampir setengah jam.

Lebih 1,500 durian disediakan oleh Kementerian Permodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah (Manred) bersama-sama Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) untuk dinikmati pengunjung.

Program tersebut merupakan kempen makan buah-buahan tempatan yang disusun atur berikutan Sarawak masih lagi dilanda musim durian.

Ramai pengunjung membanjiri tapak aktiviti sejam lebih awal kerana tidak mahu melepaskan peluang.

Salah seorang penduduk yang dikenali Ahap memberitahu, aktiviti makan durian percuma ini merupakan aktiviti yang menyeronokkan.

“Hendak dikatakan kami tercari-cari durian, tidak juga.

“Lebih-lebih lagi raja buah sehingga kini mudah diperoleh dan harga pun berpatutan.

“Cuma rasa seronok kerana dapat makan beramai-ramai.

Sebelum ini kami pernah mendengar aktiviti yang sama di tempat lain, jadi apabila diadakan di tempat kita, maka timbul keterujaan.

Alhamdulillah.

“Bagaimanapun, kami berterima kasih kepada pihak yang menyediakan durian percuma dan membawa aktiviti seumpama ini ke sini,” katanya di sini, semalam.

Hadir melakukan simbolik perasmian Adun Beting Maro Razaili Gapor.

Turut serta Pemangku Setiausaha Tetap Manred Awang Johari Awang Mustapha, Ketua Perkhidmatan Korporat SMA Mohamad Irtidzar Razali, Pemanca Daerah Pusa Awang Raziee Awang Mohd. Zain dan Penghulu Kampung Pusa Mahdi Kidi.

Razaili sendiri turut mengagihkan durian kepada pengunjung.

Suara Sarawak