ARTIKEL

Maklumat Awam Bantu Polis Tahan Lelaki Disyaki Curi Kabel Di Kota Samarahan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Keprihatinan orang awam menyalurkan maklumat kepada polis membawa kepada penangkapan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kegiatan curi kabel dan memiliki dadah di kawasan Menara Sacofa, Sungai Jernang, semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Samarahan Superintenden Damataries Lautin, kejadian kira-kira 5 petang itu berlaku ketika Unit MPV Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan sedang menjalankan rondaan cegah jenayah di sekitar kawasan pentadbiran daerah berkenaan.

“Bertindak atas maklumat diterima, pasukan MPV bergegas ke lokasi dan menahan lelaki terbabit yang berada dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan kenderaan suspek menemukan enam unit kabel dipercayai dicuri dari menara Sacofa berhampiran,” katanya dalam kenyataan.

Damataries menambah, hasil siasatan lanjut mendapati suspek turut menyimpan bahan terlarang apabila dia menyerahkan sendiri satu paket plastik lut sinar berisi ketulan kristal jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 2.80 gram serta satu paket pil erimin 5 mengandungi sembilan biji dengan berat kira-kira 2.55 gram.

Kesemua barang rampasan termasuk dadah dan kabel curian dibawa ke IPD Kota Samarahan untuk tindakan lanjut.

Pihak polis memuji tindakan pantas orang awam yang membantu menyalurkan maklumat, sekali gus memudahkan usaha membanteras jenayah di kawasan berkenaan.

“Kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Kanun Keseksaan atas kesalahan memiliki barang curian,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU