PONTIANAK: Komitmen dua hala antara Malaysia dan Indonesia dalam memperkukuh keselamatan sempadan terus diperteguh menerusi Mesyuarat Koordinasi (RAKOR) Ke-12 yang diadakan di sini, semalam.
Mesyuarat antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak dan Kepolisan Daerah Kalimantan Barat (POLDA Kalbar) itu berlangsung di Graha Khatulistiwa dengan matlamat utama mempertingkat kerjasama strategik dalam mengekang jenayah rentas sempadan.

Dipengerusikan bersama oleh Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Datuk Mancha Anak Ata, dan Ketua Polis Kalimantan Barat, Irjen Pol Pipit Rismanto, S.I.K., M.H., antara perkara yang diberi penekanan ialah pertukaran maklumat risikan secara lebih pantas.
Menurut Mancha, selain itu pelaksanaan rondaan bersama di kawasan ‘hotspot’ serta penggunaan teknologi komunikasi yang lebih selaras bagi menyokong keberkesanan operasi di lapangan.

“Kepercayaan dan kesediaan untuk bekerjasama antara PDRM dan POLDA Kalbar telah menjadi tunjang kepada kestabilan sempadan Malaysia-Indonesia, khususnya di Sarawak dan Kalimantan Barat.
“Saya menghargai kesungguhan POLDA Kalbar yang sentiasa proaktif dalam menjalin kerjasama, bukan hanya dari segi maklumat risikan, malah dalam melaksanakan operasi yang memberi kesan langsung kepada pengurangan jenayah lintas negara,” katanya.
RAKOR kali ini turut menghasilkan beberapa ketetapan penting, antaranya cadangan memperluas skop operasi bersama, penubuhan saluran komunikasi khas antara bilik gerakan kedua-dua negara serta penilaian berkala terhadap keberkesanan tindakan yang diambil.

Kesepakatan yang dicapai ini dilihat sebagai langkah ke hadapan dalam memastikan kawasan sempadan tidak dijadikan laluan mudah bagi aktiviti haram seperti penyeludupan dadah, pemerdagangan manusia dan jenayah terancang.
PDRM Sarawak dan POLDA Kalbar sepakat bahawa kejayaan usaha keselamatan sempadan hanya dapat dicapai melalui kolaborasi berterusan, kepercayaan strategik dan tindakan yang diselaraskan dari semasa ke semasa.
RAKOR Ke-12 menjadi bukti bahawa keselamatan serantau hanya dapat dijamin melalui perpaduan tindakan antara agensi penguat kuasa dua negara berjiran.


