JAKARTA: Malaysia berhasrat memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan beberapa negara termasuk Indonesia, Singapura dan Kemboja bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang perfileman, animasi, muzik serta persembahan konsert.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil memaklumkan demikian selepas mengadakan pertemuan dua hala berasingan dengan Menteri Negara bagi Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Singapura Baey Yam Keng serta Setiausaha Negara Kementerian Kebudayaan dan Seni Halus Kemboja Pen Monimakara di luar Persidangan Dunia Ekonomi Kreatif (WCCE) kelima di sini pada Khamis.
“Banyak negara meletakkan filem di bawah kebudayaan tetapi ia ada aspek ekonomi yang sangat besar.
“Jadi kita sekarang perlu beralih sudut pandang dan saya percaya berdasarkan MoU yang akan dimeterai, kita dapat lihat, membuat perbandingan dan cari jalan tersendiri untuk Malaysia supaya filem kita dapat dibawa keluar dan dinikmati di mana saja,” katanya kepada Bernama.
Terdahulu, Fahmi menghadiri majlis perasmian persidangan itu oleh Menteri Perancangan Pembangunan Nasional Indonesia Prof Dr Rachmat Pambudy.
Turut hadir Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Muzafar Shah Mustafa, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MyCreative Ventures Zainol Haqim Zainol Rashid, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Azmir Saifuddin Mutalib serta Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Mohd Shukri Ishak.
Mengenai pertemuan dua hala itu, Fahmi berkata perbincangan dengan Singapura dan Kemboja turut menumpukan kepada perkongsian data dalam industri kreatif termasuk maklumat berkaitan artis Malaysia yang membuat persembahan di luar negara serta prestasi filem Malaysia di pasaran antarabangsa.
“Kerana kita lihat ekonomi kreatif terutamanya perlukan data dan sama ada jumlah artis Malaysia yang buat persembahan di negara-negara tersebut ataupun macam dalam bidang filem.
“Saya bagi contoh, di Kemboja ada filem Malaysia yang telah dialih suara dan ditayangkan, kutipannya jauh lebih tinggi berbanding di Malaysia. Jadi ada banyak peluang sebenarnya,” katanya.
Fahmi berkata pada pertemuan itu, Pen turut membangkitkan cabaran yang dihadapi dalam menjalin kerjasama dengan platform penstriman antarabangsa termasuk Netflix.
Beliau berkata agensi Malaysia seperti FINAS dan MyCreative Ventures boleh membantu dalam aspek latihan serta pembangunan bakat.
Fahmi berkata keupayaan Kemboja dalam bidang pascaproduksi filem, audio dan muzik juga adalah satu lagi bidang yang berpotensi untuk dijalin kerjasama antara kedua-dua negara.
“Dengan kerjasama seperti ini saya lihat ada banyak peluang termasuk untuk FINAS dan MyCreative Ventures sama ada membawa kandungan dari Malaysia keluar ataupun membawa dari luar masuk ke Malaysia,” katanya. – BERNAMA





