MELAKA: Malaysia Heritage Studios di Ayer Keroh menggabungkan elemen tradisional dengan teknologi bagi memberikan pengalaman warisan yang lebih visual, interaktif dan menarik kepada pengunjung.
Menurut Bernama, antara tarikan utama ialah instalasi hamparan padi dengan pencahayaan LED dan bunyi burung berkicau dalam sebuah rumah tradisional Kedah yang mewujudkan suasana seakan-akan berada di sawah.

Ketua Pembangunan Perniagaan Wilayah Selatan Malaysia Heritage Studios Ainatul Mardhiah Roslan berkata pendekatan itu turut merangkumi pencahayaan, elemen imersif, animatronics, kandungan video dan aktiviti hands-on bagi menarik minat generasi muda.
Beliau berkata taman tema itu menampilkan 13 rumah tradisional dari seluruh negara, selain persembahan kebudayaan setiap hari serta aktiviti seperti batu seremban, congkak, capteh dan penghasilan batik pada waktu tertentu.
Ainatul Mardhiah berkata bahan warisan yang diketengahkan berpandukan kajian dan dokumentasi sejak 1986, termasuk kisah legenda seperti Naga Tasik Chini, Sang Kelembai dan Gajah Mina, manakala taman tema itu dibuka setiap hari dengan tiket RM50.60 untuk dewasa dan RM39.40 bagi kanak-kanak serta warga emas.




