KUCHING: Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan genosid dan kekejaman yang berlaku ke atas rakyat Palestin, tegas Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Yang Dipertua Dewan Negara itu berkata, beliau turut mengesahkan sokongan Malaysia kepada Palestin dalam perjuangan pembebasan rakyat negara tersebut daripada pendudukan Israel.

Jelasnya, ia termasuk pendirian diplomatik Malaysia untuk mengekalkan hak terus berhubung dan bekerjasama dengan mana-mana pihak, termasuk sayap politik Hamas bagi mencari penyelesaian segara terhadap konflik semasa.
“Berdasarkan penerangan Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali, amat jelas bahawa matlamat utama kekejaman genosid ini adalah untuk menghalau seluruh rakyat Palestin keluar dari Gaza – bermula dari haluan Utara Gaza ke Selatan Gaza yang sudah penuh dan akhirnya rakyat Palestin akan dipaksa keluar daripada sempadan perbatasan ke kawasan negara Mesir.
“Oleh itu, saya menyeru pihak antarabangsa terutamanya kuasa Barat dan Eropah untuk menunjukkan perikemanusiaan dan mengambil tindakan segera serta drastik bagi menghentikan kekejaman yang tidak berperikemanusiaan ini terhadap rakyat Palestin,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya selepas menerima kunjungan hormat Duta Palestin ke Malaysia, hari ini.
Dalam pada itu, mengenai pertemuan tersebut Wan Junaidi memberitahu bahawa, Walid juga merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan ke atas bantuan dan sokongan Kerajaan Malaysia, Perdana Menteri dan rakyatnya secara keseluruhannya kepada Gaza dan rakyat Palestin.
“Walid juga berharap agar sokongan, bantuan dan hubungan baik ini diteruskan pada masa akan datang,” ujarnya.


