ARTIKEL

Datuk Seri Amir Hamzah Azizan

Malaysia Mampu Depani Krisis Ekonomi Jika Perang Perdagangan Tercetus – Amir Hamzah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PUTRAJAYA: Malaysia berupaya mendepani sebarang krisis ekonomi yang mungkin timbul susulan kebimbangan tarif menyeluruh yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) ke atas 168 negara termasuk Malaysia akan mencetuskan perang perdagangan global.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata asas negara yang disokong oleh perbelanjaan penggunaan yang kukuh seperti program Sumbangan Tunai Rahmah serta aliran masuk pelaburan portfolio asing ke pasaran bon telah meneguhkan kedudukan ekonomi negara untuk menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.

“Kita akan tangani sebarang krisis ekonomi yang mungkin timbul,” katanya kepada pemberita hari ini pada sesi taklimat media menjelang Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) yang akan berlangsung dari 7-10 April, 2025.

Menurut Amir Hamzah, Malaysia juga sentiasa mempelbagaikan pasaran eksportnya dan prospek ekonomi negara amat memberangsangkan.

“Kita akan meneruskan usaha untuk menarik pelaburan langsung asing terutamanya industri bernilai tinggi

“Mari kita fokus pada perkara yang kita boleh kawal dan bina daya tahan seperti menyediakan dana yang mencukupi untuk perniagaan tempatan.” katanya.

Beliau berkata kerajaan sedar bahawa negara perlu mempunyai ekonomi yang lebih seimbang, itulah sebabnya gaji dinaikkan baru-baru ini selain semakan gaji dalam sektor kerajaan.

“Pergantungan Malaysia terhadap hutang luar negara kurang daripada tiga peratus dan ia kerana modal domestik yang kukuh,” katanya.

Amir Hamzah berkata institusi kewangan sebenarnya “senang hati” membeli bon kerajaan dan korporat manakala syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) komited untuk meningkatkan pelaburan mereka terutamanya dalam usaha niaga mampan bagi tempoh lima tahun akan datang.

“Langkah ini akan menjana hasil berbilion ringgit yang merupakan rangsangan besar bagi ekonomi dan dapat membantu mewujudkan momentum dalam negara,” katanya.

Menurutnya, terdapat juga banyak wang asing yang dilaburkan dalam mata wang Malaysia apabila pelabur portfolio asing menukar kelas aset mereka dan beralih daripada ekuiti kepada bon.

“Ia membantu menghapuskan risiko pertukaran asing,” katanya sambil menambah pelabur datang kerana mereka selesa dengan ekonomi Malaysia yang stabil dan mempunyai prospek positif.

Mengenai gembar gembur pelaburan asing meninggalkan negara, beliau berkata: “Kita sebenarnya melihat banyak wang yang kembali masuk ke Malaysia menerusi pasaran bon.

“Dengan wang mengalir masuk yang mencukupi, perniagaan tempatan mendapat keuntungan dan ini adalah perkara yang boleh kita kawal,” katanya. 

Amir Hamzah berkata keluaran dalam negara kasar Malaysia terus kekal kukuh disokong oleh aktiviti rancak pembinaan dan pembuatan yang berterusan serta aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI).

Pembayaran subsidi bersasar kepada kira-kira 5.4 juta orang yang layak juga merangsang penggunaan.

“Perbelanjaan penggunaan mencerminkan kekayaan yang dihasil,” katanya.

Beliau juga berkata orang ramai serta lebih 300 delegasi yang menghadiri siri mesyuarat AFMGM minggu depan boleh mengunjungi pameran Rumah Terbuka Malaysia @ ASEAN KL 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) yang akan menampilkan produk tempatan, peluang kerjaya untuk belia serta info pelancongan.

Perniagaan kecil juga boleh mendapatkan maklumat dan memohon geran perniagaan di bawah program sosial kewangan TEKAD untuk membantu usahawan mikro berpendapatan rendah, katanya. – BERNAMA

BERITA LAIN

Perkukuh daya tahan ekonomi

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 bertujuan memperkukuh daya tahan ekonomi Malaysia, menyokong perubahan industri dan meningkatkan pembangunan tenaga kerja dalam sektor sarung tangan getah, kata Persatuan

Industri minyak dan gas perluas operasi

KUALA LUMPUR: Industri perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE) Malaysia di landasan tepat bagi fasa pertumbuhan selanjutnya dan perlu terus memperluas skala operasi, inovasi

BERITA TERBARU

Naik Taraf Sekolah Mubaligh di Sarawak

KUCHING: Peruntukan RM30 juta untuk sekolah mubaligh Sarawak tahun ini bukan sahaja bagi menaik taraf infrastruktur, malah RM10 juta daripadanya dikhususkan untuk meningkatkan pencapaian akademik