Malaysia penuhi kriteria WHO

KUCHING: Malaysia memenuhi enam kriteria yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Menurutnya, kriteria pertama ialah kawalan sempadan Malaysia yang diperketatkan untuk mengelak kes import positif Covid-19 berlaku.

“Kedua ialah mengawal pergerakan untuk mengurangkan kadar jangkitan dalam kalangan rakyat tempatan.

“Ketiga ialah peningkatan keupayaan fasiliti kesihatan manakala keempat adalah keupayaan menjaga golongan berisiko seperti warga emas, pesakit yang dirawat serta orang kurang upaya (OKU),” katanya.

Beliau berkata demikian pada perutusan khas sempena dengan Hari Buruh di ibu negara hari ini.

Tambah Perdana Menteri, kriteria kelima yang dipenuhi oleh Malaysia ialah amalan normal baharu dalam kehidupan seperti tidak berkumpul, tidak bersalam, penjarakan sosial serta memakai penutup mulut dan hidung.

“Keenam ialah pemerkasaan komuniti untuk menjaga kawasan yang tidak dijangkiti seperti zon hijau serta mengamalkan aktiviti normal baharu.

“Alhamdulillah, pengorbanan kita sepanjang pelaksanaan PKP tidak sia- sia,” katanya.

Beliau turut berkata, jumlah kes baharu telah menurun dengan ketara.

“Sehubungan itu, bilangan pesakit yang sembuh juga telah meningkat.

“Penggunaan ruang-ruang katil di hospital yang dikhaskan untuk pesakit Covid-19 pula tidak melebihi 30 peratus,” ujarnya.

Suara Sarawak