ARTIKEL

Ahli Lembaga Pengarah MATRADE, Dato Mohammad Medan Abdullah.

Malaysia perkukuh kedudukan sebagai hab perdagangan digital serantau – Mohammad Medan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Malaysia bersedia memperkukuh kedudukan sebagai peneraju perdagangan digital serantau menerusi pelbagai inisiatif strategik, termasuk pelaksanaan MADANI Digital Trade yang dilancarkan pada Mac lalu, kata Ahli Lembaga Pengarah MATRADE, Dato Mohammad Medan Abdullah.

Katanya kekuatan Malaysia terletak pada keupayaan untuk menyesuaikan diri dan melakukan transformasi, sejajar dengan matlamat MATRADE untuk memperkasakan syarikat tempatan ke arah ekonomi global berasaskan digital.

“MADANI Digital Trade merupakan respons menyeluruh Malaysia terhadap landskap perdagangan global yang semakin berubah.

“Inisiatif ini khusus untuk merapatkan jurang digital dan memperkasa syarikat pertengahan (MTC) negara dengan peralatan dan keupayaan yang diperlukan untuk bersaing di peringkat global,” katanya berucap dalam TIME Digital Pulse Check Summit 2025 yang berlangsung di Menara MATRADE, Kuala Lumpur hari ini.

Menjelas lanjut, Mohammad Medan berkata MADANI Digital Trade secara langsung menangani cabaran pendigitalan yang dihadapi oleh MTC dengan menyediakan laluan berstruktur untuk penerimaan digital, akses yang dipertingkatkan kepada platform e-dagang global, serta program pembinaan kapasiti yang disasarkan.

Beliau menambah menerusi inisiatif itu, ia memastikan MTC bukan sekadar menjadi peserta dalam ekonomi digital tetapi turut menjadi peneraju yang dapat memanfaatkan teknologi untuk memperluas pasaran, meningkatkan kecekapan operasi dan membina kelebihan daya saing yang mampan.

“Sejak dilancarkan, MADANI Digital Trade memainkan peranan penting dalam mempercepat perjalanan transformasi digital syarikat pertengahan negara, dengan menyediakan sokongan dasar, akses kepada platform, dan pembangunan modal insan yang diperlukan untuk berkembang maju dalam dunia yang semakin saling berhubung.

“Kami menyeru semua pihak berkepentingan iaitu agensi awam, pemimpin sektor swasta, persatuan industri dan terutama komuniti MTC untuk bersama-sama menghayati dan memanfaatkan sepenuhnya MADANI Digital Trade.

“Hanya melalui komitmen kolektif ini, kita dapat memastikan setiap syarikat pertengahan tanpa mengira sektor bersedia untuk berjaya dalam pasaran digital global,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan Laporan Google-Temasek, ekonomi digital Asia Tenggara dijangka melebihi USD300 bilion menjelang 2025.

Malah, katanya ekonomi digital global diunjurkan mencecah USD16.5 trilion menjelang 2028, bersamaan 17 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia.

Sehubungan itu, Mohammad Medan berkata sebagai pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia dilihat mempunyai peluang strategik untuk menerajui agenda perdagangan digital serantau menerusi Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN yang sedang digerakkan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU