KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mengalihkan ekonominya ke tahap produktiviti yang lebih tinggi untuk kekal berdaya saing selepas Amerika Syarikat (AS) mengumumkan tarifnya.
Pengerusi Pengasas Forum Perniagaan Global Malaysia, Nordin Abdullah berkata ini berikutan pembaharuan dalaman kini menjadi lebih penting untuk negara.
Katanya, kepentingan tindak balas strategik yang melangkaui reaksi pantas akan menjadi penting bagi Malaysia susulan perdagangan hanya merupakan satu daripada komponen hubungan dua hala dengan AS.
“Strategi pelaburan terkini menyasarkan banyak syarikat yang berpusat di AS dan AS kekal sebagai pelabur terbesar dalam ekonomi Malaysia,” katanya dalam satu ulasan hari ini.
Beliau berkata, beberapa pesaing serantau diberikan kedudukan yang lebih menguntungkan dalam spektrum tarif dan itu mungkin diterjemahkan kepada peningkatan pelaburan masuk daripada syarikat yang ingin mendapatkan komponen rantaian bekalan global mereka dalam bidang kuasa yang optimum.
“Kepelbagaian perdagangan akan menjadi idea yang jelas, tetapi kini ia akan menjadi pilihan pertama bagi mereka yang paling tidak mempunyai rintangan. Itu akan membawa kita ke dalam senario persaingan yang lain, oleh itu lebih banyak sumber perlu diperuntukkan untuk mempromosi perdagangan ke luar negara.
“Jika Malaysia mampu mengatasi pesaing dalam permainan ini, perubahan tarif yang besar sebenarnya boleh menjadi kelebihan kepada pengeksport Malaysia. Ini merupakan peluang untuk kepimpinan yang berani untuk mengumpul keberanian selain mengatasi pesaing pada waktu perubahan pesat ini,” katanya.
Selain daripada perubahan pusingan semasa, Nordin berkata jika tarif tidak memberikan kesan dengan cukup cepat untuk pentadbiran Trump, perancang ekonomi perlu mengunjurkan apa yang perlu dilakukan seterusnya.
Terdahulu, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan berkata kementerian tidak mempertimbangkan tarif timbal balik dan sedang giat berunding dengan pihak berkuasa AS mengenai tarif yang dikenakan untuk mencari penyelesaian yang akan menegakkan semangat perdagangan bebas dan adil. -Bernama



