
“ KELUARGA Malaysia Teguh Bersama” menjadi tema sambutan Hari Kebangsaan ke65 yang disambut pada Rabu. Sambutan kali ini sebenarnya cukup istimewa kerana rapat raksasa peringkat kebangsaannya kembali diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Pada tahun lalu, sambutan diraikan pada skala yang lebih kecil di Dataran Pahlawan, Putrajaya dengan tema “Malaysia Prihatin”. Ada beberapa individu yang menyindir, kenapa Sarawak perlu turut meraikan hari ini?
Ya, di Sarawak ia diraikan di Betong. Pandangan sempit seperti ini seharusnya tidak berlaku, kerana dalam apa-apa keadaan sekali pun, Sarawak perlu menghormati kedudukannya dalam Malaysia.
Menghormati keputusan pimpinan dahulu, yang turut menandatangani satu surat beranak sebuah negara bernama Malaysia.
Sebagai generasi baharu yang sekadar ‘mewarisi’ negara ini, tidak seharusnya kita mempersoalkan kenapa kita perlu meraikan Hari Kebangsaan yang diiktiraf sejak lebih enam dasawarsa lalu itu.
Kita sebaliknya harus menghormati bahawa Tanah Melayu (sebagai negara yang lebih awal dalam federasi Malaysia) menemui hari bebas mereka pada 31 Ogos 1957.
Ia perlu dibaca dalam konteks yang luas, bukan pesimis. Harus diingat, kita juga meraikan Hari Malaysia pada 16 September – dan ia membuktikan betapa semua pihak saling bertolak ansur dalam menjayakan perkara sepenting ini.
Jika kita terus berprasangka, negara ini akan hancur; dan peristiwa seperti 13 Mei 1969 akan berulang , bahkan lebih teruk. Kepada rakyat Sarawak, kita harus berbahagia, kerana ketika negara disambar gempita politik, Sarawak masih mampu merundingi kembali haknya yang terhakis, memanfaatkan ‘klausa’ dalam Pelembagaan Persekutuan untuk kekayaan ekonomi dan yang paling penting, mengembalikan tarafnya sebagai sebuah ‘wilayah’.
Justeru itu, tidak perlulah bagi sesetengah pihak berfikiran jumud, hingga meletakkan kiblat utama mereka untuk mengeluarkan Sarawak dari Malaysia. Fahamilah bahawa, membentuk Malaysia pada tahun 1963 lalu adalah keputusan tepat kerana Sarawak pada waktu tersebut berada dalam keadaan terancam dari aspek keselamatan, serta terlalu miskin untuk membangun dengan sendiri.
Tahun ini, sambutan ini sebenarnya menjadi lebih bermakna kerana negara semakin pulih daripada belenggu Covid-19. Malah meraikan fasa endemik.
Hakikatnya, kejayaan menangani wabak maut ini dicapai kerana pemimpin dan rakyat bersolidariti dengan jayanya selama lebih 24 bulan, selepas diasak ribut politik sebelumnya.
Namun apakah solidariti terus kekal? Sejak 12 bulan yang lalu, kita terpaksa menerima hakikat bahawa berlaku guruh di langit Malaysia.
Guruh ini kembali menyaksikan ahli-ahli politik negara semakin galak mengadu-domba dan mencipta onar yang tidak perlu.
Riak perpecahan sudah tampak akibat daripada perlumbaan untuk mendapatkan kuasa.
Ya, pilihan raya umum sudah semakin hampir. Dan gendang kempen sudah pun dipukul bertalu-talu.
Namun perlukah kita berpolitik hingga negara berpecah belah? Sehingga negara terumbang-ambing?
Apakah kita tidak menginsafi apa yang berlaku di negara luar; terutamanya di Sri Lanka?
Biarpun berhadapan pilihan raya yang kurang dua bulan lagi akan berlaku, sewajarnya kita melakukannya dengan cara berhemah.
Kita perlu terus meneguhkan negara kerana kita akan menghadapi ancaman yang lebih dahsyat.
Selepas politik, diikuti Covid-19; negara akan bertemu muka dengan bencana ekonomi.
Inflasi dunia memerlukan negara ini kembali bersolidariti, untuk mengekalkan keamanan dan memastikan seluruh lapisan rakyat mampu untuk menghadapinya.
Bajet 2023 yang dijangka dibentangkan pada 7 Oktober depan harus mampu mencapai visi ini.
Seharusnya kita bersyukur kerana Kerajaan Persekutuan membuka pintunya kepada rakyat untuk memberikan pandangan dan meluahkan ketakutan.
Ya, ia masih boleh dilakukan menerusi sesi libat urus atas talian https:// budget.mof.gov.my/ bajet2023/ sebelum 9 September ini.
Secara bebas, cadang dan luahkan sahaja, demi negara, kerana ini kali pertama rakyat dilibatkan untuk cadangan dasar sepenting ini.
Terima kasih Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Kementerian Kewangan atas kepercayaan dan peluang yang diberikan.
Sebelum ini libat urus melibatkan pelbagai pihak, termasuk badan bukan kerajaan dan 242 agensi telah berjaya meraih lebih 3,000 isu dan 2,000 cadangan termasuk cadangan mengenai percukaian.
Ketika kita bergembira menyambut kemerdekaan pada hari ini, perlu dilihat situasi sebenar ekonomi negara.
Kajian menunjukkan ekonomi negara berada di peringkat pemulihan kukuh pada separuh pertama 2022.
Ia berkembang sebanyak 6.9 peratus ekoran langkah Kerajaan melaksanakan Fasa Peralihan ke Endemik; pembukaan sepenuhnya ekonomi dan sempadan.
Perdana Menteri malah yakin bahawa momentum pemulihan ekonomi negara pasca-Covid-19 akan berterusan sehingga penghujung 2022, sekali gus membolehkan pertumbuhan pada tahun ini diunjurkan, antara 5.3 peratus dengan 6.3 peratus.
Menurut beliau, momentum pertumbuhan ini bukan sekadar pada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar, tetapi pemulihan pasaran tenaga kerja, yang menyaksikan penurunan kadar pengangguran daripada 5.3 peratus pada Mei 2020 kepada 3.8 peratus pada bulan Jun 2022. Kebanyakannya kerana inisiatif JaminKerja dengan peruntukan melebihi RM4 bilion dalam Bajet 2022.
Pada separuh pertama tahun ini juga, pelaburan langsung asing (FDI) kembali mencatat aliran masuk bersih lebih tinggi bernilai RM41.7 bilion berbanding sebelum pandemik iaitu RM23.3 bilion pada tempoh yang sama tahun 2019.
Ia satu berita baik sebenarnya kerana ketika ini, pihak Tabung Kewangan Dunia (IMF) mengunjurkan pertumbuhan ekonomi global merosot — 3.8 peratus pada Januari 2022 kepada 2.9 peratus pada Julai 2022. Namun negara masih perlu untuk bersedia menghadapi ancaman inflasi.
Pada bulan Jun 2022, kadar inflasi di negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom melebihi 9 peratus sementara negara serantau seperti Thailand, Singapura dan Filipina melebihi 6 peratus.
Ketika ini, seperti diumum Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob, kerajaan telah berjaya melaksanakan langkah mengawal harga barangan serta menambah baik bantuan dan subsidi barangan asas.
Kesannya, kadar inflasi untuk separuh tahun pertama 2022 kekal pada tahap terkawal 2.5 peratus. Untuk itu, kerajaan menyerap perbelanjaan untuk bantuan dan subsidi negara hingga ia meningkat kepada RM77.7 bilion berbanding peruntukan Bajet 2022 sebanyak RM31 bilion.
Itu realitinya, dan secara matematik, ia berjaya mengelak kadar inflasi negara mencecah 11.4 peratus, tanpa intervensi.
Rakyat perlu sedar akan pengorbanan ini. Kerana itulah maka penting seluruh rakyat terus bersolidariti, tidak dimomokkan dengan cerita dan tohmahan politik.
Kepada para pemimpin, rakyat sebenarnya sudah memberi mesej jelas bahawa mereka muak dengan politik yang mengabaikan kepentingan rakyat dan negara.
Dan tidak mustahil mereka akan memikirkan alternatif ketiga, jika terus diasak dengan permainan politik yang memuakkan pada PRU kelak.
Rakyat telah menghadirkan mesej bahawa mereka tidak kisah bagaimana wajah kerajaan yang dibentuk selepas ini, asalkan ia menjamin kestabilan, dan kembali mengutamakan negara dan rakyat. Dan mengukuhkan negara untuk menghadapi satu lagi cabaran.
Kerana itulah mesej di sebalik sambutan Hari Kebangsaan ini cukup penting.
Jangan sekadar dibaca, sebaliknya dihadam, bagi membina masa depan yang dapat dipertahan. •
Rudi Afendi Khalik merupakan penulis, wartawan dan penerbit di syarikat penerbitan tv dan kandungan media di Sarawak



