KUCHING: Sarawak membangkitkan keperluan mewujudkan rangka kerja kawal selia bagi pengangkutan karbon dioksida ke negara ini susulan peningkatan permohonan daripada syarikat luar negara untuk menyimpan karbon di negeri itu.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkara itu dibangkitkan beliau pada Mesyuarat Majlis Tenaga Negara Bilangan 1 Tahun 2026 yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bangunan Ahli Parlimen dan Pentadbiran, Parlimen Malaysia, pagi tadi.
“Tadi saya telah mengemukakan satu perkara yang penting untuk negara Malaysia, iaitu pengangkutan bagi karbon dioksida kerana kita telah menerima permohonan daripada beberapa syarikat dari Jepun dan Singapura untuk menyimpan karbon di Sarawak. Kita ada tempat – Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pameran dan Persidangan Air dan Air Sisa Antarabangsa Borneo (BIWWEC) 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Abang Johari menegaskan keperluan itu timbul berikutan Sarawak menerima banyak permohonan daripada syarikat asing untuk menyimpan karbon di negeri berkenaan.
“Kita telah menerima banyak permohonan untuk menyimpan karbon kerana kita adalah satu wilayah yang agak terbesar dari sudut penyimpanan karbon.
“Umpamanya dari Jepun, seperti syarikat Sumitomo. Mereka mahu menyimpan karbon mereka di perairan Sarawak tetapi belum ada rangka kerja kawal selia, jadi bagaimana hendak membawa karbon itu ke sini,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata isu berkenaan merupakan perkara baharu yang dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan bagi membolehkan satu mekanisme penyelarasan diwujudkan.
“Ini satu isu baharu yang saya kemukakan kepada Kerajaan Persekutuan.
“Kita ada undang-undang kita sendiri berkaitan CCUS dan kita gunakan undang-undang kita tetapi ia mestilah ada penyelarasan dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

