MALAYSIA dikatakan terlepas peluang ekonomi yang besar apabila gagal menjadi tuan rumah bagi konsert antarabangsa penyanyi, Taylor Swift.
Pun begitu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan (KBS), Adam Adli Abd Halim menepis dakwaan tersebut kerana Malaysia tidak pernah ditawarkan untuk menjadi penganjur konsert artis berkenaan.
Memetik media tempatan, beliau turut mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu daripada firma atau konsultansi sukan yang berpangkalan di Malaysia — Sportswork Group Sdn Bhd.
“Konsert yang dipertikaikan ini tidak pernah ditawarkan kepada Malaysia di bawah kontrak bersama ASM Global (syarikat pengurusan tempat Amerika Syarikat).
“KBS dari sudut penganjuran, bukan tanggungjawab kita, kerana permohonan penganjuran terletak di bawah pihak lain.
“Kita hanya pihak yang bertanggungjawab menyediakan lokasi atau membantu dari segi logistik dan sebagainya,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, baru-baru ini bagi menjawab soalan tambahan Chong Zhemin (PH-Kampar) berkenaan isu tersebut.
Terdahulu, Chong meminta penjelasan dakwaan siri jelajah konsert Swift sepatutnya tidak terlepas kepada negara lain mengambil kira terdapat perjanjian dengan ASM Global.
Pada masa yang sama, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong memaklumkan insentif diberi kepada Swift menjadikan republik itu sebagai satu-satunya destinasi persinggahan siri jelajah dunia di Asia Tenggara



