ISTANBUL: Malaysia dan Turkiye mahu mempertingkatkan pertukaran Surat Hasrat berkaitan kerjasama sektor tenaga, khususnya tenaga boleh baharu dan nuklear bagi tujuan bekalan tenaga, kepada Memorandum Persefahaman, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata justeru, usaha itu akan mengorak laluan untuk pembentukan kerjasama antara pegawai peringkat tertinggi serta pembuat dasar Malaysia dan Turkiye.
Fadillah berkata hasrat Kuala Lumpur dan Ankara itu antara perkara yang dibincangkan semasa pertemuan dengan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Turkiye Alparslan Bayraktar di Ankara pada Selasa.
“Insya-Allah, kita secara bersama sedang meningkatkan supaya daripada Surat Hasrat ini, ia menjadi satu Memorandum Persefahaman,” katanya kepada Bernama di sini, lewat malam tadi.
Fadillah kini berada di Turki untuk lawatan kerja dua hari sejak semalam, sebelum mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak mengenai Masa Depan Keterjaminan Tenaga pada 24 hingga 25 April di London anjuran Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) dan kerajaan United Kingdom (UK).
Menurut PETRA kehadiran Timbalan Perdana Menteri merupakan satu pengiktirafan terhadap komitmen, peranan dan pencapaian Malaysia dalam menghadapi pelbagai isu berkaitan tenaga khusunya keterjaminan bekalan dan peralihan tenaga.
— BERNAMA



