KUCHING: Kunjungan hormat delegasi Parlimen United Kingdom (UK) ke Astana Negeri hari ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk memperkukuh hubungan antara Malaysia dengan UK, khususnya dalam aspek legislatif.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, menerima kunjungan hormat tersebut.

Delegasi diketuai oleh Speaker House of Commons, The Right Honourable Sir Lindsay Hoyle, diiringi oleh Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak, Kementerian Luar Negeri, Duta Fenny Nuli.
Menurut Hoyle, Malaysia dan UK menjalin hubungan diplomatik yang rapat sejak sekian lama, dengan kedua-dua negara mengamalkan sistem demokrasi berparlimen.
“Kami berharap untuk terus bekerjasama dengan Malaysia, khususnya Sarawak, dalam pelbagai bidang yang memberi manfaat bersama.
“Ini termasuk meneroka peluang kerjasama dalam bidang tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga hijau dan hidrogen, yang semakin berkembang di Sarawak,” katanya.
Sarawak kini merupakan antara negeri yang giat membangunkan sektor tenaga hijau, selari dengan usaha kerajaan negeri untuk menjadi peneraju dalam bidang tenaga mampan di rantau ini.
Hoyle turut memuji keindahan dan keunikan budaya Sarawak, yang menurutnya berpotensi besar dalam menarik pelancong dan pelabur luar.




