MALUDAM: Sebanyak 35 pasukan disasarkan menyertai Maludam International Explorace 2026 pada 23 hingga 25 Oktober ini, manakala 25 pasukan telah mengesahkan penyertaan termasuk sebuah pasukan antarabangsa.
Pertandingan yang sebelum ini dikenali sebagai Maludam Explorace itu dijenamakan semula sebagai Maludam International Explorace bagi memperluas daya tarikan Maludam sebagai destinasi ekopelancongan dan pelancongan berasaskan komuniti ke peringkat antarabangsa.
Berinspirasikan konsep The Amazing Race, peserta akan meneroka kawasan sekitar Taman Negara Maludam dan perkampungan setempat menerusi pelbagai cabaran yang menguji ketangkasan, strategi serta semangat berpasukan.
Menurut Sarawak Forestry Corporation (SFC), penganjuran itu bukan hanya memberi tumpuan kepada elemen pertandingan, malah turut mengetengahkan keunikan alam semula jadi dan kehidupan komuniti setempat sebagai tarikan utama Maludam.
“Sepanjang tiga hari program, pengunjung turut disajikan dengan pameran agensi, persembahan kebudayaan, pertandingan komuniti, sukan rakyat serta aktiviti kesedaran mengenai konservasi hutan paya gambut.
“Penganjuran berkenaan juga dijangka memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat menerusi sektor penginapan, makanan, pengangkutan dan jualan produk tempatan,” katanya dalam kenyataan.
Pada masa sama, menurut SFC, program itu menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan memelihara ekosistem hutan paya gambut di Taman Negara Maludam.
“Pendekatan menggabungkan aktiviti lasak, ekopelancongan, kebudayaan dan konservasi diharap dapat menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan berkenaan.
“Menerusi penganjuran ini, SFC komited memperkukuh kerjasama strategik bersama pelbagai pihak dalam mempromosikan pemuliharaan biodiversiti, penglibatan komuniti dan pembangunan ekopelancongan lestari di Sarawak,” katanya.
Program anjuran SFC dengan kerjasama Sustainable Management of Peatland Ecosystem in Malaysia (SMPEM) itu akan berlangsung di Tapak Dataran Budaya Maludam.
Ini sekali gus diharap dapat memperkenalkan Maludam kepada pasaran pelancongan yang lebih luas, selain menjadikan kekayaan biodiversiti dan komuniti tempatan sebagai sebahagian daripada pengalaman ekopelancongan Sarawak.

