ARTIKEL

Noor Afifah (tengah) ketika melakukan lawatan kerja ke Koperasi Mamacare Sarawak Berhad di sini, baru-baru ini.

Mamacare Sarawak model koperasi komuniti kesihatan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Peranan Koperasi Mamacare Sarawak Berhad dalam menyediakan perkhidmatan sokongan kesihatan, barangan keperluan harian dan inisiatif komuniti kepada pengguna institusi kesihatan diperkukuh melalui lawatan kerja Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) baru-baru ini.

Lawatan yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Noor Afifah Abdul Razak diadakan di Kompleks Meditel dan Hotel Serapi Verdure bersebelahan Hospital Umum Sarawak, di sini.

Noor Afifah berkata, lawatan ini bertujuan meninjau secara langsung bagaimana koperasi seperti Mamacare dapat memperkukuh ekonomi yang gigih dan inklusif sambil memberi manfaat kepada komuniti sekitar hospital.

“Sebagai koperasi yang ditubuhkan pada 21 April 2022, Mamacare Sarawak telah menunjukkan potensi besar dalam menyediakan perkhidmatan dan keperluan bagi komuniti sekitar hospital.

“Lawatan ini menandakan komitmen kerajaan untuk memperkasa koperasi berasaskan komuniti di sektor kesihatan, selaras dengan hasrat memperkukuh ekonomi yang gigih dan inklusif di Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, lawatan ini juga menjadi platform memperkenalkan inisiatif terkini SKM.

“Ini termasuk program pembangunan kapasiti, geran bantuan serta akses pembiayaan yang lebih mudah bagi koperasi mikro dan kecil di kawasan luar bandar serta bandar utama.

“Koperasi seperti Mamacare Sarawak mempunyai potensi menjadi model teladan dalam menyokong agenda Ekonomi Digital Sarawak dan Pemulihan Pasca COVID, selain membantu mengurangkan beban kos sara hidup masyarakat melalui perkhidmatan yang mampu milik dan berkualiti,” tambahnya.

Lawatan itu turut meninjau Pusat Penjagaan Ibu Selepas Bersalin, spa dan rawatan kesihatan tradisional yang ditawarkan koperasi tersebut.

“Fasiliti ini menggabungkan penjagaan postnatal, urutan tradisional dan program kesihatan untuk warga emas, orang kurang upaya dan pesakit terlantar.

“Oleh itu, lawatan ini bertujuan memahami peranan fasiliti ini dalam menyediakan perkhidmatan holistik kepada komuniti,” jelasnya.

Selain itu, taklimat turut disampaikan oleh tiga penceramah.

Pengarah Kompleks Meditel, Jetson Hoo berkata, kompleks itu merupakan pusat beli-belah perubatan awam pertama di Malaysia di bawah Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).

“Di Kompleks Meditel, kami menawarkan hotel dengan 160 bilik, tempat letak kereta bertingkat, pusat makanan serta pelbagai kemudahan komuniti termasuk program derma darah dan aktiviti kesihatan awam,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Koperasi Mamacare, Rosmawati Bolhassan membentangkan profil koperasi yang ditubuhkan pada 21 April 2022.

“Koperasi kami kini mempunyai 32 anggota, kebanyakannya wanita B40 yang merupakan pengamal kesihatan tradisional.

“Aktiviti utama meliputi penjagaan ibu selepas bersalin, latihan kesihatan dan pemasaran produk anggota di Kuching, Samarahan, Sri Aman, Sibu, Bintulu dan Miri,” katanya.

Sesi terakhir dikongsi oleh Pensyarah Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr Suhaila Saee berkaitan projek kerjasama UNIMAS, SKM dan Koperasi Mamacare.

“Projek ini membangunkan sistem tempahan digital bersepadu iKOM+ untuk meningkatkan kecekapan operasi, literasi digital dan pendapatan wanita usahawan B40.

“Sistem iKOM+ telah dilancarkan pada 2 Disember 2025 dan memenangi Anugerah Emas di Pameran dan Simposium Inovasi SULAM 2025,” jelasnya.

Lawatan berakhir dengan komitmen bersama untuk memperkukuh hubungan institusi dan meneruskan inisiatif inovatif yang memberi impak positif kepada komuniti kesihatan di Kuching dan sekitarnya.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU