ARTIKEL

Abang Johari berucap pada Majlis Perasmian Pusat Kebudayaan Orang Ulu di Miri, hari ini.

Mandat baharu penentu pelaksanaan projek Pan-Baram

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MIRI: Cadangan pembinaan Jalan Pan-Baram berpotensi direalisasikan sekiranya Gabungan Parti Sarawak (GPS) mendapat semula mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum Sarawak Ke-13 (PRU-13).

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata , kerajaan negeri ketika ini berstatus kerajaan sementara susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), justeru beliau tidak mahu membuat sebarang komitmen rasmi sebelum pilihan raya.

Mengulas lanjut, beliau berkata cadangan Pan-Baram berbeza daripada projek jalan sedia ada kerana turut memanfaatkan sebahagian laluan bekas jalan balak bagi membentuk rangkaian perhubungan lebih luas di pedalaman Baram.

Menurutnya, perancangan rapi melibatkan jajaran, kesalinghubungan dan spesifikasi jalan perlu dilakukan sebelum projek berkenaan dapat dilaksanakan.

“Saya rasa ini satu cadangan yang baik kerana ia akan membuka kawasan berkenaan kepada aktiviti ekonomi.

“Dahulu ia merupakan jalan balak, tetapi ekonomi baharu sekarang berasaskan pemuliharaan hutan dan kredit karbon,” katanya.

Cadangan itu sebelum ini dibangkitkan penyandang DUN Mulu, Datuk Gerawat Gala yang berharap laluan sepanjang lebih 250 kilometer dari Pekan Lapok ke Bario dapat dinaik taraf susulan keputusan kerajaan mengambil alih bekas jalan balak.

Pan-Baram dijangka melengkapi rangkaian Jalan Miri-Marudi-Mulu-Long Panai-Long Lama (MMMLL) sepanjang kira-kira 142 kilometer yang sedang dibangunkan dengan kos sekitar RM3.8 bilion.

Abang Johari berkata, hubungan antara rangkaian jalan utama dan laluan pengantara termasuk bekas jalan balak mampu meningkatkan kesalinghubungan di seluruh Baram.

Beliau turut mengaitkan pembangunan rangkaian jalan itu dengan usaha meningkatkan keupayaan Pelabuhan Miri, termasuk menerima kapal lebih besar serta menyokong perkembangan sektor pelancongan kapal persiaran.

Menurutnya, kehadiran pelancong melalui Miri berpotensi memberi limpahan ekonomi kepada destinasi pedalaman termasuk pusat kebudayaan dan kawasan Baram.

Beliau berkata, pembangunan jalan itu juga mampu menyokong transformasi sektor pertanian di Baram menerusi penggunaan teknologi baharu termasuk Internet Pelbagai Benda (IoT) dan kecerdasan buatan (AI).

Sementara itu, projek MMMLL yang dilancarkan pada November tahun lalu menunjukkan kemajuan lebih awal daripada jadual, dengan dua pakej utamanya masing-masing mencatat kemajuan fizikal melebihi 30 peratus setakat September lalu.

BERITA LAIN

Sokongan keluarga kunci kejayaan penyusuan susu ibu

DARO: Sokongan suami, keluarga dan masyarakat antara faktor penting menjayakan penyusuan susu ibu secara eksklusif sepanjang enam bulan pertama, sekali gus membantu memastikan tumbesaran anak

BERITA TERBARU

Sokongan keluarga kunci kejayaan penyusuan susu ibu

DARO: Sokongan suami, keluarga dan masyarakat antara faktor penting menjayakan penyusuan susu ibu secara eksklusif sepanjang enam bulan pertama, sekali gus membantu memastikan tumbesaran anak