DARO: Sokongan suami, keluarga dan masyarakat antara faktor penting menjayakan penyusuan susu ibu secara eksklusif sepanjang enam bulan pertama, sekali gus membantu memastikan tumbesaran anak yang sihat.
Pengerusi Lembaga Pelabuhan Tanjung Manis, Dr Safiee Ahmad berkata, usaha itu memerlukan sokongan menyeluruh termasuk daripada majikan bagi mewujudkan persekitaran yang kondusif kepada ibu menyusu.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Hari Penyusuan Lestari dan Generasi Sihat Klinik Kesihatan Daro 2026 di sini, hari ini.
Penyusuan susu ibu perlu disertai pemberian makanan pelengkap berkhasiat apabila bayi mencapai usia enam bulan dan diteruskan bersama susu ibu sehingga anak berusia dua tahun atau lebih.
Amalan itu selaras dengan kepentingan pemakanan sepanjang tempoh 1,000 Hari Pertama Kehidupan, iaitu fasa bermula dari kehamilan hingga anak berusia dua tahun penting bagi perkembangan otak, fizikal dan kesihatan kanak-kanak.
Dalam perkembangan sama, beliau menggesa masyarakat supaya terus memberi perhatian terhadap penjagaan kesihatan wanita, termasuk menjalani pemeriksaan dan saringan kesihatan yang disarankan serta memastikan kebajikan ibu selepas bersalin sentiasa diberi perhatian.
Program itu turut menampilkan ceramah berkaitan kesihatan pergigian dan pemakanan, demonstrasi penyediaan hidangan sihat serta sembilan reruai pameran meliputi aspek penyusuan, penjagaan ibu, pemakanan kanak-kanak, kesihatan wanita, kaunseling, fisioterapi, farmasi, pergigian dan Majlis Kanser Nasional (MAKNA).
Beliau berharap kerjasama antara Klinik Kesihatan Daro, agensi kerajaan, pemimpin masyarakat dan penduduk setempat dapat terus diperkukuh bagi meningkatkan taraf kesihatan penduduk daerah itu.




