ARTIKEL

Prestasi, usia jadi pertimbangan GPS pilih calon di Baram

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Prestasi, maklum balas akar umbi dan faktor usia bakal menjadi antara pertimbangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam menentukan calon yang akan diketengahkan di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Baram pada Pilihan Raya Umum Sarawak Ke-13 (PRU-13).

Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pertambahan pengundi muda turut menjadi faktor yang perlu diberi perhatian dalam proses pemilihan calon.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Rumah Kebudayaan Orang Ulu di Miri, hari ini.

Kenyataan itu memberi gambaran bahawa GPS turut menilai kesesuaian penyandang berdasarkan perubahan demografi pengundi dan keperluan kawasan, bukan hanya bergantung pada rekod kemenangan mereka sebelum ini.

Di bawah kawasan Parlimen Baram terdapat tiga kerusi DUN, iaitu Marudi, Telang Usan dan Mulu yang kesemuanya dimenangi GPS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2021.

Marudi kini disandang Datuk Dr Penguang Manggil daripada Parti Demokratik Progresif (PDP), manakala Telang Usan diwakili Dato Dennis Ngau dan Mulu diwakili Datuk Gerawat Gala, kedua-duanya daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Pada pilihan raya lalu, Penguang mempertahankan Marudi dengan memperoleh 8,169 undi, Dennis mengekalkan Telang Usan dengan majoriti 2,422 undi, manakala Gerawat memenangi Mulu dengan 3,731 undi.

Ketiga-tiga kerusi itu dijangka menjadi tumpuan pada PRU Sarawak Ke-13 susulan hasrat PKR Baram untuk bertanding di Marudi, Telang Usan dan Mulu.

GPS sebelum ini turut memberi petunjuk bahawa gabungan pemimpin berpengalaman dan muka baharu akan diketengahkan bagi menghadapi pilihan raya kali ini, selaras dengan usaha menyediakan pelapis kepimpinan negeri untuk jangka panjang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 November sebagai hari penamaan calon, 8 Disember bagi pengundian awal dan 12 Disember sebagai hari mengundi Pilihan Raya Umum Sarawak Ke-13 (PRU-13).

BERITA LAIN

FORUM sasar bina kolej pendidikan di Miri

MIRI: Persekutuan Persatuan Orang Ulu Sarawak Malaysia (FORUM) merancang menubuhkan sebuah kolej pendidikan di Miri bagi membuka laluan alternatif kepada anak-anak Orang Ulu yang gagal

BERITA TERBARU