KUCHING: Program Pagi Bebas Kenderaan anjuran MBKS menyasarkan pengurangan pelepasan asap karbon dioksida serta mempromosi gaya hidup sihat.
Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng berkata, program seumpama ini merupakan langkah pertama majlis perbandaran tersebut untuk menggalakkan warga bandar raya untuk turut serta.
Katanya, MBKS mengiktiraf kepentingan dalam mempromosikan kawasan bandar yang lestari dan mengambil pelbagai langkah dalam menggalakkan penggunaan pelbagai mod pengangkutan.
“Pagi bebas kenderaan ini bertujuan untuk mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya dan sebaliknya menggunakan basikal, pengangkutan awam atau berjalan kaki.
“Sebagai contoh, kita telah melabur dalam membina lorong basikal baharu, menambah baik perkhidmatan pengangkutan awam dan melancarkan kempen yang mempromosikan berjalan kaki dan mengayuh basikal.
“Manfaat gaya hidup bebas kenderaan ini banyak, dengan berjalan kaki, mengayuh basikal atau menggunakan pengangkutan awam, kita dapat menambah baik kesihatan, menjimatkan wang dan mengurangkan jejak karbon kita,” katanya berucap sempena program tersebut di Bangunan MBKS, di sini semalam.
Katanya, bandar bebas kenderaan akan menjadi lebih bertenaga, boleh didiami dan sesuai untuk semua penduduk tanpa mengira umur, kemampuan mahupun pendapatan.
Hong Seng berkata, program itu turut menyediakan peluang kepada bandar untuk menyedari pencemaran menjejaskan kehidupan orang ramai.
“Pengeluaran asap kenderaan antara punca utama pencemaran udara, terutamanya di bandar.
Pencemaran udara sahaja menyebabkan 4.2 juta kematian pramatang pada 2019, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya.
Pada majlis sama, MBKS turut menandatangani MoU dengan Sunway Education Group Sdn Bhd yang diwakili oleh Pro Naib Canselor (Penglibatan Penyelidikan dan Impak) Profesor Mahendhiran Sanggaran Nair yang disaksikan Timbalan Premier Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.


