SIBU: Sarawak berupaya memanfaatkan potensi pasaran kopi dengan mengeluarkan jenamanya sendiri yang berkualiti tinggi, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Chieng Jin Ek.
Menurutnya, statistik menunjukkan bahawa sekitar 2.25 bilion cawan kopi diminum setiap hari di seluruh dunia.
Selain itu, katanya, sebanyak 90 peratus peminum kopi adalah dari negara maju, dan Malaysia kini beransur-ansur menyamai angka trend tersebut.
“Kerajaan Sarawak harus melihat perkara ini memandangkan penggunaan kopi harian adalah pasaran yang besar.
“Alangkah baik jika Sarawak mempunyai biji kopi jenama sendiri kerana kita juga mempunyai aroma kopi yang berbeza,” ujarnya ketika merasmikan Acara Microwave di sini.
Acara tersebut dianjurkan oleh Persatuan Seni Filem Sibu yang mengadakan pameran seni, bengkel kreatif, ceramah, persembahan pentas dan pasar artis kraf tangan daripada 44 peserta gerai.
Turut hadir, pengerusi penganjur acara, Christopher Ling.
Tambah Chieng, teknologi moden juga dapat digunakan bagi penanaman biji kopi untuk menghasilkan produk berkualiti tinggi.



