KUCHING: Chaoyang University of Technology (CYUT) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) memperkukuh kerjasama akademik antarabangsa menerusi ‘CYUT–UNIMAS Sustainable Impact Challenge: ACBL × USR Exchange Programme’, yang memberi tumpuan kepada inovasi dalam memanfaatkan sisa pertanian.
Program yang dibiayai Kementerian Pendidikan Taiwan itu dilaksanakan menerusi projek Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) CYUT, “Lun-Yuan Corridor”, dengan menghimpunkan pelajar dan pensyarah kedua-dua institusi untuk meneroka penyelesaian bernilai tambah berasaskan sumber pertanian tempatan.
Mengangkat tema “Transformasi Sisa Sampingan Pertanian kepada Penyelesaian Bernilai Tambah”, program itu menggabungkan kekuatan pertanian Taiwan Tengah, khususnya padi dan nanas, dengan sumber pertanian tropika Sarawak seperti kelapa sawit dan pisang.
Menerusi pendekatan Pembelajaran Berasaskan Aktiviti/Cabaran (ACBL), peserta ditugaskan menghasilkan penyelesaian atau produk bernilai tambah daripada lima jenis sisa pertanian iaitu sekam padi, sisa nanas, sisa lobak merah, batang kelapa sawit dan sisa pisang.
Selain menghasilkan inovasi, program berkenaan turut menekankan pemahaman konteks tempatan dan perkongsian pengetahuan antara peserta dari kedua-dua negara, khususnya dalam melihat sisa pertanian sebagai sumber yang berpotensi memberi manfaat kepada alam sekitar, ekonomi dan masyarakat.
Program turut menampilkan Sesi Perkongsian Akademik UNIMAS–CYUT yang membincangkan pemanfaatan sisa pertanian bernilai tinggi, kimia lestari, pengurusan perosak serta aplikasi bioenergi.
Perkongsian kepakaran itu menghubungkan penyelidikan akademik dengan inovasi yang diterajui mahasiswa, sekali gus memperluas ruang pembelajaran dan kerjasama rentas sempadan.
Kerjasama CYUT-UNIMAS berkenaan menjadi platform strategik untuk memperkukuh jaringan antarabangsa dalam bidang kelestarian, inovasi pertanian dan pembangunan komuniti, selain membuka peluang kepada pembangunan penyelesaian bersama yang memberi impak jangka panjang.





