ARTIKEL

Mangsa 6 Tahun Diculik dan Dicabul, Lelaki Dipenjara 21 Tahun

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara 21 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen hari ini, kerana melakukan seks secara paksa terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun.

Kejadian tersebut berlaku semasa mangsa diculik oleh tertuduh dari rumah neneknya di sebuah kampung di Jalan Puncak Borneo pada Ahad lalu.

Tertuduh, Augustine, 36, yang berasal dari Kampung Abang, Padawan membuat pengakuan berkenaan sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Iris Awen Jon.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 377CA Kanun Keseksaan kerana melakukan hubungan seks secara paksa dengan memasukkan jari ke dalam kemaluan mangsa.

Perbuatan itu dilakukan di tepi sungai di sebuah kampung di Jalan Puncak Borneo sekitar tengah malam pada 8 Mac lalu.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Iris menegaskan hukuman setimpal perlu dikenakan selepas mengambil kira mitigasi tertuduh yang tidak menunjukkan sebarang penyesalan atas perbuatannya.

“Ia juga mengambil kira trauma yang dialami mangsa kanak-kanak selain mengambil kira berat kesalahan yang dilakukan,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, sekitar jam 12.05 tengah malam, cucu perempuan pengadu telah dilarikan oleh seorang lelaki ketika rumah mangsa dipecah masuk.

Insiden tersebut disaksikan oleh anak perempuan pengadu yang ketika itu sedang tidur bersama mangsa.

Keluarga pengadu kemudian meminta bantuan penduduk kampung untuk mencari mangsa sebelum kanak-kanak itu ditemui sedang menangis teresak-esak di tepi sungai oleh adik ipar pengadu.

Pemeriksaan fizikal mendapati terdapat kesan calar pada muka dan tangan, lebam pada kaki serta kesan darah pada pakaian dalam mangsa.

Mangsa segera dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut manakala satu laporan polis dibuat oleh pengadu untuk tindakan undang-undang.

Tertuduh berjaya ditangkap oleh pihak polis pada hari yang sama kejadian berlaku.

Hasil siasatan mendedahkan mangsa mengadu bahawa tertuduh telah memasukkan jari ke dalam kemaluannya ketika kejadian.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Chuah Kai Sheng manakala siasatan dijalankan oleh Pegawai Penyiasat Inspektor Awang Iswandi Awang Mahmuddin.

BERITA LAIN

Cubaan seludup rokok di Serikin gagal

KUCHING: Cubaan menyeludup rokok ke Indonesia melalui laluan haram di Serikin berjaya digagalkan Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM194,850, awal pagi

BERITA TERBARU