KUCHING: Dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Miri yang masih beroperasi akan terus menerima bantuan daripada Kerajaan Sarawak.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, bantuan yang diberikan termasuk tempat tinggal di PPS, makanan serta pemantauan kesihatan.
Katanya, kerajaan turut menaikkan kadar bantuan makanan iaitu sebanyak RM50 sehari bagi mangsa di PPS.
“Di PPS juga kita juga ada jawatankuasa yang akan memantau kesihatan.
“Jadi kita bekerja sebagai satu pasukan di PPS untuk memastikan keselamatan mereka terjamin, kemudian dari segi makan minum juga disediakan, kesihatan juga diberi tumpuan,” katanya ketika ditemu bual media selepas menyempurnakan Majlis Sejambak Kasih Aidilfitri 2025, di Pusat Beli Belah Majma, di sini hari ini.
Selain itu Fatimah berkata, terdapat juga aktiviti disediakan untuk kanak-kanak agar mereka tidak kebosanan di PPS.
Katanya, ia sekali gus membantu ibu bapa menguruskan emosi sepanjang tempoh pemindahan.
Sementara itu, mengulas tentang sesi kaunseling bagi mangsa tanah runtuh, Fatimah berkata perkara itu perlu dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut.

