SERIAN: Sebanyak 516 tilam dan 1,032 bantal disumbangkan kepada keluarga yang terjejas banjir di kawasan Serian.
Keperluan asas itu hasil sumbangan daripada Kelab Rotary di Singapura, Johor, Melaka dan juga Brunei.
Penyerahan sumbangan menerusi pelaksanaan projek Bantuan Banjir Borneo-Bahagian Serian, Sarawak, diketuai oleh Kelab Rotary Kuching Sentral.
Turut sama adalah wakil daripada Kelab Rotary Kuching, Gereja ‘Jesus Christ of Latter-day Saints’, Kelab Rotaract Swinburne Sarawak, dan juga SEGi Sarawak.
Presiden Kelab Rotari Kuching Sentral, Roland Phang, berkata majlis penyerahan sumbangan akan dilaksanakan di Pusat Perkhidmatan Serian Sarawak dalam masa terdekat.
Menurutnya, sumbangan ini adalah tindak balas kepada hasil tinjauan terhadap komuniti yang terjejas banjir di pusat bantuan banjir Kampung Tanah Putih.
“Barangan keperluan ini bertujuan untuk memberi keselesaan dan sokongan sepanjang proses pemulihan, serta membantu keluarga mendapatkan semula kestabilan ketika mereka membina semula rumah dan kehidupan mereka.
“Ini juga untuk mengurangkan beban kewangan mereka ketika menggantikan barangan rumah yang musnah,” menurutnya dalam satu kenyataan semalam.





