ARTIKEL

Mangsa bot terbalik ditemui lemas

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KAPIT: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang setelah bot yang dinaiki bersama-sama tiga lagi rakannya terbalik di Ulu Sungai Putai Isnin lalu (24 April) ditemui lemas petang kelmarin.

Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam satu kenyataan berkata, mayat mangsa yang dikenali sebagai Bon Albert, 58, telah dijumpai oleh penduduk kampung di lokasi Sungai Putai.

“Ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada hari pertama dijalankan bersama dengan pasukan polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung dihentikan untuk disambung hari berikutnya, pasukan operasi telah dimaklumkan mengenai penemuan mayat mangsa jam 6 petang oleh penduduk kampung.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke jeti berhampiran pengkalan Jambatan Sungai Putai dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. Beliau menambah dengan penemuan mayat mangsa operasi SAR ditamatkan jam 6.40 petang.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kapit ASP Anthony Apui ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat mangsa.

Beliau berkata, terdahulu mayat mangsa dijumpai tersangkut di celah batang kayu lebih kurang jam 5.05 petang oleh penduduk kampung sebelum memaklumkan kepada pasukan SAR.

“Semasa ditemui, mayat mangsa berkeadaan terlungkup dan tersangkut di celah batang kayu yang ditemui lebih kurang satu kilometer dari tempat kejadian.

“Mayat kemudian dibawa ke Hospital Kapit untuk tindakan lanjut oleh pihak polis,” kata Anthony.

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 9 malam Isnin, perahu yang dinaiki mangsa bersama- sama tiga lagi rakannya tiba-tiba dimasuki air ketika hujan renyai- renyai semasa dalam perjalanan untuk menangkap ikan di sungai berkenaan.

Dengan keadaan air sungai berombak akibat angin kuat telah menyebabkan perahu mereka terbalik dan mangsa hilang dibawa arus deras manakala tiga rakannya berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU