KUCHING: Kanak-kanak yang didera oleh ibu bapa atau penjaga boleh menghubungi Talian Kasih 15999 sebagai langkah melindungi diri dan mendapatkan bantuan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata kesedaran terhadap isu penderaan serta cara mendapatkan bantuan kini semakin meningkat, termasuk dalam kalangan kanak-kanak.
“Semakin ramai yang menyedari perkara ini, malah kanak-kanak juga tahu cara mengatasinya dengan menghubungi 15999 untuk melindungi diri.
“Walaupun saya tidak suka melihat kanak-kanak didera, namun saya berbangga kerana mereka kini boleh bertindak sendiri dan terdapat juga kes yang menunjukkan perkembangan positif,” katanya kepada media selepas Majlis Penutupan dan Pameran Dayung Warisan: Dayung Young Heritage Leaders Programme di Mahkamah Lama Kuching, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kes dera membabitkan kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun yang disyaki didera ibu angkatnya di Saratok.
Menurut Nancy, perlindungan terhadap mangsa telah disediakan mengikut prosedur operasi standard (SOP), termasuk pengurusan kes di hospital dan tindakan pihak polis.
Sehubungan itu, beliau meminta ibu bapa, penjaga atau sesiapa sahaja agar tidak melakukan penderaan.
Dalam masa yang sama, kementeriannya akan terus menjalankan program advokasi berkaitan penderaan kepada ibu bapa dan kanak-kanak bagi meningkatkan kesedaran.
Terdahulu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok menahan seorang wanita berumur 47 tahun pada Sabtu kerana disyaki mendera anak angkatnya, seorang kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun.
Ketua Polis Daerah Saratok DSP Mathew Manggie berkata pihaknya menerima laporan pada Sabtu lalu daripada seorang guru yang bimbang akan keselamatan mangsa selepas menerima kiriman video melalui WhatsApp pada Khamis lalu daripada jiran mangsa.
Katanya, video tersebut mengandungi suara tangisan mangsa yang dipukul oleh ibu angkatnya menggunakan objek keras.
“Pengadu kemudiannya memanggil mangsa ke pejabatnya sekitar jam 10.45 pagi untuk membuat pemeriksaan dan mendapati terdapat kesan lebam pada bahagian muka dan belakang badan.
“Mangsa memberitahu bahawa dia ditampar di kedua-dua pipi dan dipukul di bahagian belakang badan menggunakan hos oleh suspek,” katanya dalam kenyataan.
Mathew berkata punca kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa bertanya kepada suspek mengenai barangan yang perlu dibawa ke pusat tuisyen kerana mempunyai kelas matematik setiap hari Khamis bermula jam 7 malam di Taman Ratus Melati.
Namun, katanya, suspek menjawab dengan nada marah kerana mangsa tidak mengetahui apa yang perlu dibawa, sebelum pergi ke dapur dan mengambil hos berwarna kuning lalu memukul bahagian belakang mangsa.
Beliau menambah bahawa mangsa mengaku sering dipukul oleh suspek sejak setahun lalu.
“Pemeriksaan awal oleh doktor perubatan Hospital Saratok mendapati mangsa mengalami kecederaan tisu lembut pada bahagian muka dan belakang,” katanya sambil menambah mangsa telah dihantar ke Hospital Sarikei untuk rawatan lanjut.
Mathew berkata suspek mengakui perbuatan tersebut dan ditahan reman selama empat hari bermula semalam serta disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
KAPSYEN:
Pic 1: Datuk Seri Nancy Shukri menjawab persoalan media selepas menyempurnakan Majlis Penutupan dan Pameran Dayung Warisan: Dayung Young Heritage Leaders Programme di Mahkamah Lama Kuching.

