Mangsa terbaharu sindiket Macau Scam di Sibu

SIBU: Seorang pembantu tadbir wanita berusia 57 tahun di Sibu telah menjadi mangsa terbaharu sindiket penipuan “Macau Scam” melibatkan kerugian sebanyak RM3,000.

Kejadian itu berlaku apabila mangsa menerima panggilan dari seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai seorang majistret dari Mahkamah Melaka.

Mangsa dikatakan mempunyai hutang kad kredit sebanyak RM16,840 dan diarahkan menghubungi seorang sarjan polis dari IPK Melaka untuk membuat laporan secara dalam talian.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak Supt. Mustafa Kamal Gani Abdullah, wanita tersebut menghubungi ‘sarjan’ itu yang kemudiannya mengarahkan beliau memindahkan wang sebanyak RM3,000 ke satu akaun atas nama individu tidak dikenali sebagai cagaran bagi mengelakkan tindakan dari Bank Negara ke terhadapnya.

“Mangsa mula menyedari ditipu apabila sarjan tersebut masih menghubungi beliau untuk membuat bayaran tambahan selepas itu,” katanya sambil menambah kejadian itu telah dilaporkan kepada polis Sibu semalam.

Dalam satu lagi laporan hari ini yang diterima di Miri, seorang penyelia kilang berusia 58 tahun kerugian RM89,000 selepas menjadi mangsa sindiket terbabit.

Mangsa telah diperdayakan oleh lelaki yang menyamar sebagai seorang pegawai bank yang mengatakan mangsa mempunyai hutang pinjaman peribadi sebanyak RM70,000.

Beliau kemudiannya diminta menghubungi Bahagian Jenayah Polis dan bercakap dengan seorang Inspektor polis yang mendakwanya terlibat dengan satu kes jenayah melibatkan dadah.

Selepas diarahkan mengeluarkan wang dari akaun beliau kerana dipercayai terlibat dengan kes jenayah yang dikatakan itu, mangsa memasukkan wang berjumlah RM89,000 ke empat akaun yang berlainan melalui lima transaksi dari 9 sehingga 26 Julai.

Mangsa menyedari ditipu setelah suspek mengarahkan beliau untuk memasukkan wang tambahan sebanyak RM10,000 sebagai bayaran untuk mengeluarkan peguam dari lokap seperti yang diarahkan mahkamah.

Mustafa Kamal Gani berkata alasan-alasan sama dikitar semula oleh penjenayah Macau Scam namun apabila panik, ramai mangsa tidak dapat berfikir dengan waras dan logik.

“Mohon orang ramai bertenang dalam menghadapi situasi penipuan ini. Letak saja telefon itu kalau tidak yakin atau merasa diri tidak berdaya untuk mengelak dari ayat penipuan jika berterusan bercakap di telefon itu,” nasihatnya sambil menambah orang ramai boleh boleh menyalurkan maklumat melalui WhatsApp atau SMS ke Infoline Jabatan Siasatan Jenayah Komersil di talian 013-2111222. – Bernama