ARTIKEL

Manis sekejap, pahit berpanjangan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

RISIKO simpanan persaraan yang tidak mencukupi kini semakin meruncing.

Keadaan ini diburukkan lagi oleh pengeluaran simpanan sebelum persaraan secara besar-besaran baru-baru ini.

Di Malaysia, simpanan median sebelum pandemik untuk kohort kumpulan umur antara 51 hingga 55 tahun hanya dapat bertahan selama lima tahun selepas mereka membuat pengeluaran pada umur 55 tahun.

Bagaimanapun, tempoh bertahan simpanan median ini berkurang lagi kepada sekitar tiga tahun berikutan pengeluaran simpanan sebelum persaraan semasa pandemik.

Bagi lebih memahami kesan hal ini, purata jangka hayat global dijangka meningkat melebihi 77 tahun menjelang tahun 2050 (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, 2022).

Mengikut laporan Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2022, berdasarkan anggaran ini, seseorang rakyat Malaysia berisiko mengalami kehabisan wang simpanan persaraan 19 tahun sebelum dijangka meninggal dunia.

Persoalan sekarang, adakah pengeluaran membuat pinjaman bank menerusi Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) langkah yang bijak?

Ironinya, menggunakan wang persaraan pada masa ini umpama mengambil ubat penahan sakit untuk jangka pendek.

Namun, ramai pencarum melihat simpanan KWSP sebagai penyelamat segera bagi mendapatkan tunai secara mudah demi mendepani kelangsungan hidup.

Sementara itu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membenarkan pencarum berusia 40 tahun dan ke atas yang mempunyai baki minimum RM3,000 dalam Akaun 2 masingmasing layak membuat pinjaman bank menerusi Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) bermula 7 April ini.

FSA2 akan dijalankan dalam dua fasa dan ahli yang memenuhi kriteria kelayakan boleh memohon melalui bank yang mengambil bahagian iaitu MBSB Bank dan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Kadar faedah (Konvensional) atau kadar keuntungan (Islamik) yang dikenakan oleh bank yang mengambil bahagian di bawah program ini adalah antara 4 peratus hingga 5 peratus lebih rendah dan lebih berpatutan daripada kadar pasaran semasa iaitu 8 peratus hingga 15 peratus.

Sepanjang Fasa 1 pelaksanaan skim yang akan bermula pada 7 April 2023 dan kekal dibuka selama setahun, ahli yang layak berumur 40 tahun ke atas boleh memohon, tertakluk kepada kesediaan bank yang mengambil bahagian.

Tarikh mula untuk Fasa 2 untuk ahli di bawah umur 40 tahun akan diumumkan dalam masa terdekat.

Di bawah kemudahan ini, semua ahli KWSP warganegara Malaysia di bawah umur 55 tahun boleh membuat notis awal untuk Pengeluaran Umur 50 Tahun atau 55 Tahun, dengan syarat mereka mempunyai jumlah minimum RM3,000 dalam Akaun 2 KWSP mereka.

Jumlah pembiayaan maksimum sudah ditetapkan pada RM50,000, tertakluk kepada baki Akaun 2 KWSP, dengan tempoh pembayaran balik sehingga 10 tahun.

FSA2 adalah kemudahan yang bertujuan membantu ahli KWSP mendapatkan pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan.

Simpanan dalam Akaun 2 hanya boleh digunakan untuk membayar pembiayaan peribadi ini menerusi permohonan awal Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun, berdasarkan pengeluaran sedia ada yang dibenarkan di bawah Akta KWSP 1991 (Akta).

Sementara itu, menurut bank pusat, jurang yang besar antara tempoh median simpanan persaraan bertahan dengan jangka hayat median selepas persaraan menggariskan keperluan segera untuk membina semula penampan simpanan persaraan.

Berlatarkan persekitaran ini, dasar untuk mempertingkatkan pengumpulan simpanan melalui lanjutan fasa pengumpulan perlu segera dilaksanakan.

Berdasarkan tanda aras antarabangsa,pengasingan dan pelaburan semula menawarkan potensi penyelesaian.

Langkah ini membabitkan pelaburan semula sebahagian daripada simpanan persaraan yang sepatutnya akan dikeluarkan apabila mencapai umur pengeluaran, lantas melanjutkan tempoh pengumpulan simpanan.

Sebagai contoh, di Singapura, sebahagian daripada simpanan individu pada usia 55 tahun dipindahkan kepada akaun simpanan persaraan mereka lantas membolehkan simpanan itu terus bertambah selama 10 tahun lagi.

Di Chile, pesara diberikan pilihan untuk mengeluarkan sepenuhnya atau sebahagian daripada simpanan terkumpul mereka melalui pembelian anuiti.

Tindakan ini membolehkan peningkatan baki simpanan berbanding dengan pengeluaran sekali gus.

Kedua-dua negara ini berjaya mengurangkan risiko kelanjutan usia.

Di Malaysia, pengasingan akan memberikan manfaat yang ketara, khususnya untuk ahli-ahli yang terus mencarum selepas mencapai umur pengeluaran pada 55 tahun.

Ahli KWSP yang berumur antara 50 hingga 54 tahun dengan pendapatan pada paras ambang B40 akan mendapat manfaat hingga RM36,800 tambahan simpanan jika mereka menangguhkan pengeluaran simpanan dan terus mencarum selama lima tahun lagi hingga umur 60 tahun.

Jumlah ini bersamaan dengan 16 peratus daripada Simpanan Asas KWSP dan boleh melanjutkan kecukupan simpanan terkumpul selepas persaraan selama tiga tahun lagi, lantas meningkatkan daya tahan pesara terhadap kejutan ekonomi dan kewangan.

Peningkatan kecukupan simpanan juga boleh dicapai dengan meningkatkan kadar caruman.

Bagaimanapun, langkah ini mungkin lebih mencabar kerana halangan faktor struktur seperti upah yang rendah, atau mengakibatkan kesan yang tidak diingini seperti mengurangkan insentif untuk mengambil pekerja baharu.

Dasar ini boleh diteliti pada masa hadapan di samping dasar-dasar untuk mempertingkatkan pendapatan dan insentif bagi majikan untuk memadankan dengan caruman yang lebih tinggi.

BERITA LAIN

Perkukuh daya tahan ekonomi

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 bertujuan memperkukuh daya tahan ekonomi Malaysia, menyokong perubahan industri dan meningkatkan pembangunan tenaga kerja dalam sektor sarung tangan getah, kata Persatuan

Industri minyak dan gas perluas operasi

KUALA LUMPUR: Industri perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE) Malaysia di landasan tepat bagi fasa pertumbuhan selanjutnya dan perlu terus memperluas skala operasi, inovasi

BERITA TERBARU

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha