SESETENGAH orang berpendapat, jika kita ingin melihat perwatakan atau karakter seseorang, cubalah untuk mengikuti dan berkawan dengan mereka dalam media sosial.
Tidak kurang ada majikan yang cuba menyiasat latar belakang calon pekerja atau kakitangannya sendiri dengan melihat serta mengikuti apa-apa yang mereka kongsi dan paparkan di media sosial.
Boleh dikatakan media sosial merupakan cerminan kehidupan, peri laku dan perasaan seseorang.
Bahkan ia menggambarkan lebih tepat cara hidup seseorang kerana ramai yang menjadikan platform itu sebagai diari untuk berkongsi aktiviti seharian, perkembangan semasa, meluah perasaan dan sebagainya
Tidak kurang juga yang sengaja menjadikan media sosial untuk menunjuk-nunjuk kekayaan serta kebahagian, ada juga yang ingin mendapat perhatian dan dihargai orang luar.
Tambahan pula, era kita adalah generasi yang ketagih media sosial dengan sebilangan besar mempunyai sekurangkurangnya satu akaun pengguna di Instagram, Twitter, Facebook mahupun aplikasi lain dengan anggaran lebih 24 juta pengguna aktif di Malaysia.
Namun, tindakan tersebut akhirnya menyebabkan seseorang individu kehilangan hakikat sebenar kehidupan.
Malah ada yang cuba menunjukkan betapa lebih baik kehidupannya daripada yang lain dengan memalsukan perkara sebenar.
Sebagai contoh, sebilangan individu hanya berlakon dan bersandiwara dengan berbohong di media sosial mengenai kehidupan mereka seperti taraf pendidikan, pekerjaan, status perkahwinan, gaya hidup dan sebagainya Ada juga kita melihat seseorang itu mempunyai banyak rakan dan pengikut tetapi di dunia nyata mereka sebenarnya tidak mempunyai banyak kawan serta hidup kesunyian.
Di dunia nyata, si wira papan kekunci itu mungkin jarang atau tidak pernah ke masjid dan tidaklah alim seperti penulisannya, namun di alam maya, dia gemar menulis berkaitan agama dengan mendatangkan nas-nas daripada al-Quran mahupun hadis.
Di media sosial, gambar seseorang individu yang biasanya dipamerkan sangat cantik, mulus, langsing, seolah-olah sempurna. Hakikatnya, muka berjerawat, tubuh berisi dan wajah biasabiasa sahaja.
Tidak kurang ada yang sering menyumpah seranah, marah, menghina, mengadu tentang seseorang atau sesuatu dan melakukan hasut maya.
Namun di dunia nyata, dia sebenarnya tidak seberani itu, malah sebenarnya seorang pengecut yang mahukan perhatian.
Mereka ini boleh dikatakan hampir melupakan kehidupan sebenar dan lebih menghargai kehidupan di dunia maya berdasarkan jumlah suka yang diterima melalui status, kenyataan, foto dan video yang dikongsi kerana di platform itu mereka mendapat perhatian yang diinginkan.
Justeru, pada pendapat penulis, untuk kita mengenali dan menilai seseorang itu, kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada media sosial bagi mendapat gambaran hakikat sebenar seseorang kerana boleh dikatakan semua pengguna platform ini tidak menunjukkan identiti sebenar mereka.
Ia boleh diibaratkan panggung wayang yang menjadi pentas lakonan sesetengah individu, sandiwara di media sosial ini kadangkala mengalahkan filem Hollywood mahupun Bollywood, semuanya demi mengumpul ribuan tanda suka dan komen pujian.
Dalam dunia hari ini dalam kecanggihan teknologi, boleh dikatakan ramai yang memiliki dua keperibadian, iaitu satu peribadi di media sosial dan satu peribadi sebenar.
Tetapi harus diingat, kepalsuan di media sosial ini sebenarnya sering mengakibatkan kemurungan, kesunyian dan tekanan kerana setiap hari berlaku ‘pertandingan’ untuk membuktikan diri lebih baik daripada yang lain, sekali gus menjurus kepada masalah mental yang serius dan masalah kesihatan yang lain.
Sehubungan itu, bagi mengurangkan tekanan psikologi ini, kita mesti fokus kepada kehidupan sebenar daripada media sosial dengan memperbaiki gaya hidup ke arah lebih sihat.
Dalam hal ini, keluarga harus memainkan peranan dalam mengawal penggunaannya seperti hadkan masa dan tempat tertentu sahaja, ibu bapa mesti menunjukkan tauladan yang baik serta meluangkan masa yang berkualiti bersama-sama keluarga.
Di peringkat sekolah pula, wajar diterangkan cara menggunakan media sosial dengan betul dan selamat serta diketengahkan pentingnya kesedaran kesihatan mental yang berkaitan dengan isu yang dibincangkan ini.



