KUCHING: Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Malaysia (MAPIM) Sarawak menyambut baik langkah Kerajaan Persekutuan menyalurkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM150 secara sekali bayar yang disifatkan mampu meringankan beban kewangan ibu bapa menjelang pembukaan sesi persekolahan baharu.
Yang Dipertua MAPIM Sarawak, Datuk Rozalix Edi Wahab berkata, inisiatif tersebut memberikan impak positif kepada murid sekolah termasuk pelajar Tingkatan 6 khususnya dalam membantu ibu bapa membuat persiapan awal persekolahan anak-anak.
“Justeru, MAPIM Sarawak menyambut baik langkah yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan dalam menyalurkan BAP sebanyak RM150 secara sekali sahaja kepada pelajar berkenaan.
“Kita melihat inisiatif seperti ini dapat membantu meringankan beban kewangan ibu bapa, terutama golongan berpendapatan rendah dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak hari ini.
Beliau turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas keprihatinan menyalurkan bantuan berkenaan kepada rakyat yang memerlukan.
Dalam perkembangan berkaitan, Rozalix memaklumkan bahawa MAPIM Sarawak berpandangan adalah wajar sekiranya Kerajaan Sarawak turut mempertimbangkan pelaksanaan bantuan serupa bagi melengkapi usaha Kerajaan Persekutuan.
“Adalah lebih baik sekiranya Kerajaan Sarawak juga berbuat demikian, khususnya bagi membantu warga Sarawak yang berpendapatan rendah sekali gus mengurangkan beban kewangan ibu bapa yang mempunyai anak masih bersekolah,” katanya.
BAP 2026 akan diteruskan dengan pemberian RM150 secara sekali bayar melibatkan lebih 5.2 juta murid sekolah termasuk pelajar Tingkatan 6 bagi membantu meringankan kos menyediakan kelengkapan persekolahan.
Penyaluran bantuan tersebut akan dilaksanakan semula secara tunai di sekolah menerusi program pertemuan antara guru dengan ibu bapa.

