ARTIKEL

Mariana menyusun timbunan pisang tanduk yang dijualnya di Pasar Sentral Sarikei.

Mariana Omar jual pisang tanduk, kapok hasil kebun bapa di Sarikei

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SARIKEI: Demi memastikan hasil kebun keluarga tidak disia-siakan, Mariana Omar, 44, sanggup meredah cabaran mendapatkan bekalan dan menguruskan penghantaran pisang tanduk serta pisang kapok kepada pelanggan.

Bagi wanita dari Kampung Paloh itu, urusan jual beli bukan sekadar mencari rezeki, malah usaha memanfaatkan hasil tanaman bapanya yang kini menerima permintaan yang menggalakkan.

Walaupun perlu menghadapi cabaran masa dan kos pengangkutan, semangatnya untuk terus berniaga tidak luntur.

Mariana berkata, minatnya terhadap dunia perniagaan telah berputik sejak dahulu dan mendorongnya terus mencari peluang menjana pendapatan.

“Ada pelanggan yang membuat tempahan lebih awal. Kebanyakannya dari Pakan, Bintangor dan Sarikei, dengan permintaan mencecah antara 20 hingga 30 kilogram bagi setiap jualan,” katanya kepada wartawan Suara Sarawak.

Menurut Mariana, perniagaannya itu tidak terhad kepada musim tertentu kerana permintaan terhadap pisang sentiasa ada.

Bagaimanapun, katanya, pelanggan perlu membuat tempahan sehari atau dua hari lebih awal bagi memudahkan urusan penyediaan bekalan, khususnya apabila jumlah yang diperlukan agak banyak.

“Bagi harga jualan, pisang kapok ditawarkan pada RM4 sekilogram, manakala pembelian secara borong sebanyak 10 kilogram ke atas diberikan harga RM3 sekilogram. Pisang tanduk pula dijual pada harga RM6 sekilogram, dengan harga borong RM5.30 sekilogram.

“Harga ini ditetapkan dengan mengambil kira usaha dan masa yang diperlukan untuk mendapatkan buah dari kebun, selain kos pengangkutan menggunakan perkhidmatan ekspres dari Kampung Paloh ke Sarikei,” katanya.

Justeru, katanya, harga tidak boleh dikurangkan terlalu banyak kerana setiap proses memerlukan tenaga, masa dan perbelanjaan tersendiri.

Perniagaan itu lazimnya dijalankan selama tiga hari, terutama pada hari Jumaat, manakala jualan pada hari Sabtu dan Ahad biasanya agak perlahan.

Walaupun berdepan cabaran dari segi pengangkutan dan pengurusan tempahan, Mariana tetap berusaha mengekalkan bekalan bagi memenuhi permintaan pelanggan setianya.

“Sejujurnya bagi saya, kepercayaan pelanggan menjadi dorongan untuk terus berniaga, di samping memastikan hasil tanaman dapat dipasarkan dengan baik,” tambahnya.

Orang ramai yang berminat mendapatkan pisang tanduk dan pisang kapok boleh membuat tempahan menerusi Facebook Nunna Nb atau menghubungi Mariana di talian 016-936 6684.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU