Maritim Malaysia bantu operasi pemadaman kebakaran di Kuala Baram

KUCHING: Maritim Malaysia akan membantu dalam operasi pemadaman kebakaran tanah gambut di Kuala Baram, Miri yang kini mencecah keluasan 24 kilometer persegi dengan kaedah ‘water bombing’ menggunakan pesawat Bombardier CL415.

Pengarah Maritim Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Robert Teh Geok Chuan berkata operasi akan dikoordinasikan oleh zon Maritim Miri bersama-sama Bahagian Operasi Udara (BOU) Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Putrajaya.

“Pesawat Bombardier dijangka tiba di Miri pada awal pagi esok dengan membawa dua pasukan penerbang yang terdiri daripada juruterbang dan anak kapal yang akan melakukan penerbangan secara bergilir,” katanya dalam sidang media di Kompleks Tun Abang Salahuddin (KOMTAS), Muara Tebas dekat sini hari ini.

Menurut beliau, bantuan pemadaman kebakaran itu adalah berikutan permohonan dari kerajaan Sarawak bagi membantu jabatan dan agensi lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat yang telah pun berada di lokasi kebakaran.

Keadaan kebakaran tanah gambut di Kuala Baram, Miri yang kini mencecah keluasan 24 kilometer persegi.
Robert menunjukkan kaedah ‘water bombing’ pesawat Bombardier, yang akan digunakan untuk memadamkan kebakaran tanah gambut di Kuala Baram, Miri.

Suara Sarawak