BINTULU: Tindakan pantas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu berjaya menyelamatkan krew vesel Bos Azlina daripada karam.
Pengarah Zon Maritim Bintulu Kepten Maritim Mohd Iszuadi Muhamad Hassan berkata, pihaknya menerima isyarat daripada Vesel Bos Azlina pada jarak sembilan batu nautika dari barat laut Kuala Kemena, semalam.
Beliau berkata, maklumat awal yang diterima aset maritim BOT KILAT 44 memaklumkan, vesel terbabit dilaporkan sudah separuh ditenggelami air dan terdapat lapan kru warganegara Indonesia termasuk ‘master’ berumur lingkungan 31 hingga 48 tahun.

“Semasa BOT KILAT 44 dalam rutin rondaan di sekitar perairan Bintulu sekitar jam 11.56 pagi, aset Maritim itu telah menerima isyarat kecemasan melalui radio very high frequency (VHF) berkenaan insiden Vesel Bos Azlina yang hampir karam.
“BOT KILAT 44 terus melaporkan insiden itu kepada Pusat Operasi (PUSOP) Zon Maritim Bintulu yang kemudiannya, memaklumkan kejadian itu kepada pihak Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kuching,”katanya dalam satu kenyataan, petang tadi.
Menurut Mohd Iszuadi, berdasarkan maklumat daripada master vessel terbabit, beliau telah menghubungi teksi air (Kuda Laut 1) untuk menyelamatkan mereka.
“Kesemua kru vesel selamat dikeluarkan pada sekitar jam 12.30 tengah hari dengan bantuan teksi air dan dipantau oleh Maritim Malaysia.
“Keadaan tidak dapat dikawal setelah hampir satu jam, vessel itu telah ditenggelami air sepenuhnya,”ujarnya.

